Wednesday, May 14, 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    SonaOne kembali aktif di persada seni

    SELEPAS dua tahun menyepi, SonaOne kembali dengan memperkenalkan lagu baharu berjudul Obvious duet bersama Alif.

    Lagu Bahasa Inggeris itu adalah single pertama dalam album sulung dua anak seni ini yang berjudul Detail.

    Lebih istimewa, SonaOne dan Alif menjadi artis Malaysia pertama mengeluarkan album penuh duet yang menampilkan dua penyanyi.

    SonaOne atau nama sebenarnya Mikael Adam Mohd Rafee Michel Lozach menjelaskan kolaborasi dia dan Alif bukan sebagai penyanyi berkumpulan.

    “Pada mulanya, kami memang rancang untuk menampilkan penyanyi lain dalam album ini.

    SonaOne kembali dengan lagu baharu berjudul Obvious duet bersama Alif. – Agensi

    “Namun, kami ubah fikiran kerana ia bertentangan dengan tujuan sebenar menerbitkan album berkonsepkan duo,” katanya.

    Memandangkan SonaOne, 30, dan Alif, 29, sudah lama berkawan baik, pasti ada yang tertanya-tanya mengapa baharu sekarang idea itu tercetus.

    “Kami dapat idea ini apabila Joe Flizzow minta kami menghasilkan lagu untuknya.

    “Selepas mencipta beberapa karya, baru kami terfikir lebih baik keluar album penuh.

    Menurut SonaOne, dalam tempoh setahun dia dan bekas anggota kumpulan Sleeq itu mencipta sebanyak 40 lagu.

    “Bagaimanapun, kami hanya pilih 15 lagu terbaik untuk album ini.

    “Kalau boleh, kami mahu menghimpunkan 20 lagu,” katanya.

    Biarpun karya sudah ada untuk album, pemenang Anugerah Juara Lagu ke-29 itu memberitahu komitmen mereka terhadap kerja lain melambatkan proses pembikinan.

    “Kami banyak berkomunikasi dan menghantar hasil karya menerusi e-mel kerana saya di Malaysia manakala Alif di Singapura.

    “Album ini sebagai hadiah kepada peminat kami dan sangat berbaloi untuk mereka miliki.

    “Ia mengetengahkan mesej positif dan sebagai pembakar semangat kepada mereka yang ingin melakukan sesuatu tetapi tidak mampu,” katanya.

    Detail yang akan dilancarkan awal tahun depan memuatkan 11 lagu Inggeris dan empat lagu Bahasa Malaysia.

    Memandangkan pasaran industri muzik tanah air kurang memberangsangkan, ramai penyanyi lebih selesa menampilkan single.

    Alif berkata mereka berani mengambil risiko mengeluarkan album penuh kerana setiap lagu menyampaikan cerita.

    “Album ini seperti episod dalam siri televisyen yang mana setiap lagu menyampaikan cerita.

    “Apabila album ini dimuat naik dalam platfom penstriman, pendengar boleh masukkan lagu digemari dalam senarai main mereka,” katanya.

    Sebelum Detail menemui pendengar, Alif berkata dua lagi lagu baharu akan diperkenalkan dalam masa terdekat.

    “Kami merancang mengeluarkan tiga single sebelum terbitkan album pada Mac depan.

    “Buat masa ini, kami mahu fokus mempromosikan Obvious yang mendapat sentuhan Jimmy Cash di studio Hollywood, California,” katanya.

    Single kedua mereka pula dalam Bahasa Melayu yang berjudul Pun Boleh dan akan diperkenalkan Disember ini.

    Obvious kini boleh didapati menerusi platfom penstriman manakala muzik video lagu itu sudah dimuat naik di YouTube. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda