Oleh Pg Fairol RMF
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Mei – Syarikat Setia Motors Sdn Bhd selaku pengedar kenderaan Hyundai di Brunei, telah memperkenalkan keluaran Hyundai Sonata terbaharu yang menampilkan rekaan lebih moden.
Model facelift ini nampak berbeza daripada model sebelumnya, tetapi perubahan terbaharu ini mampu menarik ramai peminat. Sedan bersaiz sederhana ini mempunyai penampilan lebih menarik dengan gril depan yang melata dengan lampu LED siang (DRLs), lampu depan yang tajam menjorok ke bawah dan bonet depan yang tampak lebih dinamik.
Ia dikuasakan enjin MPi DOHC Dual CVVT 2.0L atau 2.4L dengan transmisi automatik enam kelajuan. Tambahan lagi, model ini membolehkan pemandu memilih tiga mod pemanduan yang disediakan iaitu Comfort, Eco dan Sport.
Antara teknologi yang dilengkapkan ke dalam model ini termasuk sistem audio yang dipertingkatkan, kawalan penghawa dingin (HVAC) menggunakan punat ‘Piano key’ dan paparan berwarna 5 inci yang didatangkan standard.
Teknologi lain termasuk port pengecas USB dan pengecas tanpa wayar yang membolehkan pemandu hanya meletakkan telefon pintar ke konsol disediakan untuk mengecajnya.
Bagi keselamatan, model ini menawarkan sistem keselamatan terkini yang paling komprehensif dan ciri-ciri kemudahan terkini seperti sistem bantuan letak kereta, cruise control, enam beg udara, sistem auto defogging dan sebagainya.
Orang ramai boleh mengunjungi Bilik Pameran Hyundai untuk menyaksikan lebih dekat model sedan berkenaan.