VIENNA, 1 NOV – Pemain Lorenzo Sonego dari Itali meneruskan rentak kemenangan selepas mencatat kemenangan mengejut ke atas pemain nombor satu dunia, Novak Djokovic dengan menewaskan pemain Britain, Dan Evans untuk mara ke final ATP Vienna kelmarin.
Sonego menewaskan Djokovic dalam kekalahan terburuk tiga setnya dalam perlawanan suku akhir itu, dengan pemenang 17 kejohanan utama itu hanya menang tiga perlawanan.
Pemain ranking 42 dunia, yang menyifatkannya sebagai ‘kemenangan terhebat dalam hidupnya’, menewaskan Evans 6-3, 6-4 dan akan bertemu dengan pemain Rusia, Andrey Rublev di final. “Saya sangat gembira. Selepas kelmarin, ia bukan mudah untuk menentang Evans kerana dia seorang yang berbakat,” kata Sonego.
“Saya membuat pukulan kilas yang baik dan ia bukan mudah. Tetapi hari ini saya memenangi perlawanan dan saya sangat gembira.”
Senego, 25, sebelum ini tewas dalam pusingan kelayakan terakhir di Austria kepada Aljaz Bendene enam hari lalu, tetapi memasuki undian selepas Diego Schwartzman menarik diri.
Pemain nombor lapan dunia, Rublev mara ke final apabila pemain Afrika Selatan, Kevin Anderson menarik diri akibat kecederaan pada bahagian kaki selepas ketinggalan 6-4, 4-1.
Rublev, mengejar kejuaraan kelima musim ini, memenangi 18 dari 19 perlawanan sebelumnya.
“Saya berada di sini dengan fikiran bahawa saya tidak akan kehilangan apa-apa. Saya sudah melalui musim yang hebat, maka saya datang ke sini untuk menikmati, melakukan yang terbaik, berjuang untuk setiap mata, setiap perlawanan, dan kini saya berada di final,” kata pemain berusia 23 tahun.
“Saya mahu terus berfikir dengan cara yang sama dan kita akan menyaksikan apa yang akan berlaku esok.”
Rublev merupakan pilihan kelima, menewaskan juara bertahan, Dominic Thiem di suku akhir pada Jumaat dan sejak itu belum tewas dalam set pada minggu ini. – AFP
