TOKYO, 13 FEB – Syarikat gergasi hiburan dan elektronik Jepun, Sony, telah meningkatkan ramalan keuntungan bersih tahunan kepada AS$7 bilion hari ini berikutan prestasi kukuh dalam sektor permainan.
Syarikat itu kini menjangkakan keuntungan bersih sebanyak 1.08 trilion yen bagi tahun yang berakhir pada 31 Mac, berbanding unjuran awal iaitu 980 bilion yen.
Sony turut menaikkan ramalan jualan tahunan kepada 13.2 trilion yen, berbanding unjuran awal 12.7 trilion yen. Kenaikan itu disebabkan oleh jualan yang memberangsangkan dalam sektor permainan, muzik dan kewangan pada suku keempat, serta kelemahan yen yang memberi kesan positif terhadap jualan.
Jualan bagi suku tersebut mencapai 4.41 trilion yen, meningkat 18 peratus berbanding tahun sebelumnya, dengan keuntungan bersih sebanyak 373.7 bilion yen, yang mencatatkan kenaikan tiga peratus.
Sony juga mengumumkan pelaksanaan program pembelian semula saham bernilai sehingga 50 bilion yen.
Sepanjang tempoh tiga bulan itu, Sony menjual 9.5 juta unit konsol PlayStation 5, peningkatan yang sihat berbanding 8.2 juta unit pada tempoh yang sama tahun lalu.
Ketua Pegawai Operasi Sony, Hiroki Totoki, yang dijangka mengambil alih jawatan Ketua Pegawai Eksekutif pada April, menyatakan bahawa sektor permainan akan terus memperkenalkan judul-judul baru yang kuat pada tahun kewangan akan datang, sambil mencatatkan peningkatan jumlah pengguna aktif. – AFP
