TOKYO, 14 APRIL – Sony Jepun berkata ia telah menaikkan harga beberapa konsol PlayStation 5 (PS5) di pasaran terpilih, tetapi bukan di Amerika Syarikat (AS) disebabkan keadaan ekonomi global yang mencabar.
Harga edisi digital PS5 akan meningkat lebih 10 peratus di Eropah, Britain dan Australia, beritahu syarikat itu kepada AFP hari ini.
Syarikat itu berkata kelmarin dalam catatan blog bahawa keputusan sukar telah diambil dengan mengambil kira persekitaran ekonomi yang mencabar, termasuk inflasi yang tinggi dan kadar pertukaran tidak menentu.
Ia berlaku selepas tarif besar-besaran Presiden AS, Donald Trump, telah menjejaskan pasaran global dan mengakibatkan perang perdagangan dengan China, meningkatkan kebimbangan kelembapan ekonomi yang lebih meluas.
Pelanggan New Zealand akan melihat harga edisi digital PS5 meningkat, menurut catatan blog itu.
Harga PS5 standard dengan pemacu Blu-ray juga akan meningkat di Australia dan New Zealand, tambahnya.
Syarikat itu berkata kenaikan harga juga akan berlaku di beberapa buah rantau Timur Tengah dan Afrika, tanpa memberikan butiran. Bagaimanapun, ia berkata harga yang disyorkan untuk pemacu cakera PS5 sendiri akan berkurangan.
Semua perubahan harga berkuat kuasa mulai hari ini, kata Sony, sambil menambah kos tidak akan berubah bagi konsol PS5 Pro dengan harga dan spesifikasi lebih tinggi, yang akan berada di pasaran pada November.
Dengan PlayStation 5 dilancarkan pada tahun 2020, versi Pro telah menyepadukan pembaikan yang membolehkan permainan berjalan lebih pantas dan dengan grafik lebih baik.
PlayStation berkata edisi digital PS5 di negara Eropah kini berharga 499.99 euro (AS$570.04), manakala di Britain pula harganya adalah 429.99 paun (AS$566.53). – AFP
