Monday, May 12, 2025
29.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Soon Huat-Shevon mara ke separuh akhir Terbuka China 2024

    KUALA LUMPUR, 20 SEPT – Pemain beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai mencipta kejutan di Terbuka China 2024 apabila menumbangkan wakil tuan rumah yang merupakan pemain ranking kedua dunia Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin, hari ini.

    Pada aksi yang berlangsung di Pusat Sukan Olimpik Changzhou, pasangan suami isteri itu menumbangkan lawannya secara straight set 23-21, 21-16 dalam masa 34 minit.

    Menanti mereka di separuh akhir ialah satu lagi pasangan tuan rumah, Cheng Xing-Zhang Chi yang mara selepas mengalahkan wakil Jepun, Hiroki Midorikawa-Natsu Saito 21-15, 21-19.

    “Saya rasa keadaan gelanggang hari ini memberi kami beberapa kelebihan sebab angin agak kuat.

    “Jadi saya fikir itu memberikan kami sedikit kelebihan untuk mengawal permainan,” kata Shevon dalam audio yang dikongsikan Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

    Turut mara ke pusingan separuh akhir esok ialah beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani yang menewaskan rakan senegara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun.

    Pilihan ketujuh kejohanan itu tidak berdepan masalah menewaskan lawan 21-19, 21-18.

    Menanti mereka di separuh akhir ialah gandingan Indonesia, Shohibul Fikri-Daniel Marthin yang menewaskan wakil Denmark, Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard 21-19, 21-19.

    Sementara itu, hasrat satu lagi pasangan beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin untuk mara ke pusingan separuh akhir tidak kesampaian selepas ditunjuk jalan keluar oleh wakil Indonesia, Dejan Ferdinansyah-Gloria Emanuelle Widjaja 14-21, 9-21. – Bernama

    Pemain Malaysia, Goh Soon Huat (kanan) dan Lai Shevon Jemie beraksi semasa perlawanan suku akhir Daihatsu Indonesia Masters di Jakarta pada 27 Januari 2023. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda