SOP ketat untuk pelawat di PJSC

Oleh Nurdiyanah R.

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 OGOS – Dalam sama-sama membendung penularan pandemik COVID-19 di negara ini, Pantai Jerudong Specialist Centre (PJSC) telah mengemaskinikan langkah-langkah prosedur operasi standard (SOP) menerusi dasar pelawat atau penjaga di PJSC pada masa kini.

Di bawah pengemaskinian berkenaan, PJSC dalam kenyataan yang dikeluarkan menjelaskan bahawa pelawat tidak dibenarkan masuk ke dalam bangunan termasuklah menunggu di lobi kecuali bagi situasi-situasi tertentu.

Pengecualian dasar berkenaan ditetapkan hanya dikhususkan bagi pesakit-pesakit kritikal (ICU / vHDU) di mana hanya seorang pelawat sahaja yang dibenarkan di dalam bangunan tersebut bagi melawat seseorang pesakit yang berkaitan.

Sementara itu, hanya seseorang penjaga sahaja yang dibenarkan di mana mereka dikehendaki untuk tinggal bersama pesakit di hospital sepanjang masa dan tidak dibenarkan untuk pulang ke rumah.

Bagi pengurusan jenazah pula, hanya dua orang sahaja yang dibenarkan masuk ke dalam bangunan tersebut dan bagi yang berhajat untuk mengambil ubat di bahagian farmasi hospital tersebut, seorang sahaja yang dibenarkan untuk berurusan pada hari tersebut.

Manakala bagi orang yang ingin mendapatkan rawatan, pesakit hanya dibenarkan ditemani seorang penjaga sahaja dengan syarat pesakit berkenaan memerlukan bantuan. Jika pesakit yang tidak memerlukan bantuan untuk menghadiri temu janji maka penjaga berkenaan disarankan untuk menunggu di dalam kereta.

Selain itu, bagi urusan penghantaran atau pengambilan makanan dan barang keperluan seharian, pihak PJSC menetapkan seorang sahaja dibenarkan berurusan pada hari tersebut namun barang-barang hendaklah ditinggalkan di tingkat satu kawasan pintu masuk Neuro Emergency PJSC secara pandu lalu.

Ia adalah bagi proses pembasmian kuman sebelum pihak hospital menghantarnya ke wad pesakit masing-masing. Manakala itu, bagi urusan pengambilan barangan pula dijalankan di tingkat dua kawasan lobi melalui perkhidmatan pelanggan.

Dalam pada itu, pelawat dan penjaga yang telah dibenarkan masuk hendaklah melaporkan diri terlebih dahulu ke meja pemeriksaan suhu badan di kawasan lobi yang terletak di tingkat dua. Mereka juga mestilah mempunyai kod berwarna hijau pada aplikasi BruHealth masing-masing serta tidak mempunyai sebarang tanda-tanda penyakit Influenza (ILI).