SOP terlalu ketat, tangguh buka operasi 

KUALA LUMPUR, 16 JUN – Kira-kira 500 penjaja dan peniaga Pasar Malam Lorong Tuanku Abdul Rahman (TAR) memilih menangguhkan dahulu pembukaan semula perniagaan mereka sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) susulan prosedur operasi standard (SOP) yang terlalu ketat.

Presiden Persatuan Peniaga dan Penjaja Lorong TAR, Azkhalim Suradi berkata meskipun mereka sudah dibenarkan beroperasi semula bermula semalam, pihaknya berpendapat SOP itu perlu dikaji semula kerana tidak munasabah untuk dilaksanakan ke atas pasar malam.

“Berdasarkan SOP, selain jarak sosial sejauh 1.5 meter antara gerai-gerai berukuran lapan meter persegi, pengunjung juga dilarang membawa kanak-kanak bawah umur 13 tahun dan warga emas berumur 60 tahun ke atas tidak digalakkan berkunjung ke pasar malam.

“Selain itu, kebanyakan pasar malam tidak sesuai untuk dipagarkan kerana keluasan yang terhad. Jika jarak sosial dipratikkan sebahagian besar penjaja dan peniaga tidak dapat bernia-ga kerana bilangan gerai yang terhad,” katanya kepada Bernama. – Bernama

Peniaga dan pengunjung dilihat mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan dengan memakai penutup mulut dan hidung ketika tinjauan di pasar malam Seremban Jaya, Seremban pada 15 Jun lalu. – Bernama