Pendatang baharu sepatutnya menunjukkan rasa hormat serta memulakan langkah bertegur sapa dengan pelakon lebih senior ketika berada di set penggambaran.
Bagi pelakon Malaysia, Sophia Albarakbah, dia mengakui ada timbul rasa takut untuk memulakan langkah menegur artis lebih senior kerana bimbang mereka enggan diganggu atau tersalah kata ketika berbual dengan mereka.
Namun tanggapan itu ternyata salah apabila sepanjang bergelar pelakon dia tidak pernah berdepan isu dibuli artis lebih senior dan sentiasa dapat bekerja dengan mereka yang profesional.
“Pertama kali saya berkongsi set penggambaran dengan pelakon senior sudah tentu saya rasa agak takut. Kita akan fikir yang mereka ini mungkin sombong.
“Tapi bila dah masuk set dan mengenali mereka semuanya baik dan tidak ada seorang pun bersikap sombong.
“Sebagai pelakon baharu kita sendiri perlu mendekati dan menegur mereka terlebih dahulu dan secara tidak langsung mereka pun akan baik dengan kita,” katanya kepada mStar.
Dalam pada itu, Sophia atau Sharifah Sophia Syed Abdul Rahman, 31, memberitahu dia tidak pernah berdepan dengan isu buli seperti sedang hangat diperkatakan.
Kata pelakon drama From Saga With Love 2 itu, pelakon-pelakon senior banyak memberikan bantuan dan ilmu ketika mereka berada di set yang sama.
“Sepanjang saya berada di set penggambaran, setakat ini tidak wujud isu dibuli oleh pelakon senior.
“Bagi saya, pelakon-pelakon senior ini banyak membantu dan berkongsi pengalaman jadi tak timbul isu buli-membuli ini.
“Kita sebagai pelakon junior sepatutnya perlu menghormati individu lebih berusia dan berpengalaman,” ujarnya.
Tambah Sophia lagi, isu pendatang baharu dibuli ini mungkin disebabkan sikap artis itu sendiri tidak mahu menjalinkan hubungan baik dengan pelakon senior. – Agensi