Foto pelakon Sophie Turner memakai cincin emas di jari manisnya semasa percutian romantik bersama teman lelaki iaitu Peregrine Pearson di Capri, Itali pada Sabtu lalu menarik perhatian warganet.
Perkara tersebut menimbulkan persoalan banyak pihak di media sosial sehinggakan ada yang mendakwa aktres itu sudah bertunang.
Menurut mStar, Sophie dan Paregrine sebelum ini membuat keputusan untuk mendedahkan hubungan percintaan mereka kepada umum pada Disember tahun lalu.
Perkara itu berlaku selepas tiga bulan perpisahan Sophie dengan suaminya, penyanyi Joe Jonas iaitu pada September tahun lalu.
Sementara itu, Joe pula sebelum ini dikatakan sedang hangat menjalinkan hubungan cinta bersama model, Stormi Bee.
Mereka bagaimanapun dikhabarkan sudah berpisah selepas lima bulan bercinta.
Sumber memaklumkan Joe membuat keputusan meninggalkan teman wanitanya itu kerana jadual kerja yang padat dan memilih untuk mementingkan anak-anak.
Untuk rekod, Joe mendirikan rumah tangga dengan Sophie pada 2019 dan mereka dikurniakan dua orang cahaya mata.
Bagaimanapun, pasangan itu memilih untuk berpisah pada September tahun lalu selepas empat tahun berkahwin dan sedang dalam proses penceraian. – Agensi