Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 NOV – Grand Motors Sdn Bhd, selaku pengedar kenderaan Kia di Brunei, hari ini, telah melancarkan generasi ketiga SUV Kia Sorento pada majlis yang diadakan di Bilik Pameran Kia, Perindustrian Beribi II.
Pada majlis itu, orang ramai berpeluang melihat lebih dekat Kia Sorento yang didatangkan dalam empat pilihan daripada spesifikasi standard hingga tinggi iaitu G, GL, GLS dan GLX.
Kia Sorento serba baharu berkenaan tampil dengan beberapa elemen yang diperbaharui dari segi dalaman dan luaran berbanding model sebelumnya.
Reka bentuk luarannya berubah hampir keseluruhannya di samping tambahan ciri keselamatan, keselesaan, kemewahan dan pemanduan SUV terbabit.
Ia juga menjadikan Sorento baharu ini lebih jimat minyak dan kurang emisi, namun yang paling signifikan ialah kos pemilikan yang lebih rendah.
Sorento 2.2L Diesel dan 2.5L Petrol mempunyai keupayaan dan kecanggihannya yang tersendiri, saiz, panjang dan lebar Sorento tidak berubah kecuali tingginya yang kurang 10 milimeter berbanding model lama. Pengurangan tersebut menjadikan titik gravitinya lebih rendah, namun masih mudah untuk mengakses keluar masuk barang-barang.


Bahagian dalaman kabin pula agak luas dan selesa dengan menawarkan tujuh tempat duduk yang dilengkapi dengan kemasan material lembut, stereng pelbagai fungsi baharu, grafik instrumen tujuh inci dan suis kawalan suhu yang direka semula.
Antara tambahan yang diperkenalkan ialah tempat duduk pemandu dengan fungsi memori, pengecas telefon pintas tanpa wayar Qi dan sambungan Apple CarPlay dan Android Auto.
SUV ini turut ditampilkan dengan ciri pintar tanpa kunci, butang penghidup enjin, lampu dan bilah pengelap cermin automatik, pendingin hawa dwi-zon dengan corong udara belakang dan kawalan suhu bagi barisan ketiga.
Dari segi keselamatan, struktur kenderaan berkenaan 18 peratus lebih baik berbanding model sebelum ini yang sudah pun mendapat pengiktirafan lima bintang Euro-NCAP, sekali gus membayangkan tahap keselamatannya yang pasti lebih baik.
Sistem pacuan semua rodanya pula membantu Sorento mendapat cengkaman dan
kestabilan terbaik ketika mengambil selekoh.
Semasa majlis pelancaran berkenaan, Grand Motors mengadakan Acara Hujung Minggu Pelanggan selama dua hari bermula hari ini di bilik pamerannya.
Acara berkenaan dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti dan tawaran istimewa untuk pelanggan. Pelanggan juga boleh menikmati makanan secara percuma seperti burger mini, aiskrim, biskut dan banyak lagi.