Thursday, May 8, 2025
31.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sotheby’s tangguh lelongan permata Buddha

    HONG KONG, 7 MEI – Sotheby’s di Hong Kong menangguhkan satu lelongan permata yang dikaitkan dengan awal perkembangan agama Buddha hari ini selepas menerima bantahan daripada India, yang menyatakan bahawa permata tersebut merupakan warisan agama dan budaya negara itu.

    Permata Piprahwa, yang menurut rumah lelongan tersebut berasal dari sekitar tahun 200 Sebelum Masihi dan ditemui pada tahun 1898 oleh seorang warga Inggeris, William Claxton Peppe di utara India, dijadualkan untuk dilelong di Hong Kong hari ini.

    Kementerian Kebudayaan India telah mengeluarkan notis undang-undang Isnin lalu yang menyifatkan permata itu sebagai ‘warisan agama dan budaya India serta komuniti Buddha global yang tidak boleh dipisahkan,’ dan menyatakan bahawa penjualan itu melanggar undang-undang India dan undang-undang antarabangsa.

    Menerusi notis yang disiarkan di X (dahulunya Twitter), India meminta agar lelongan itu dibatalkan, permata tersebut dikembalikan ke India, disertai permohonan maaf serta pendedahan penuh dokumen asal usul artifak itu.

    Sotheby’s hari ini berkata lelongan itu telah ditangguhkan “berikutan isu yang dibangkitkan oleh kerajaan India dan dengan persetujuan pihak pengirim.”

    “Penangguhan ini bagi membolehkan perbincangan antara pihak-pihak terlibat dan kami akan berkongsi sebarang perkembangan yang sesuai,” menurut kenyataan rumah lelong tersebut.

    Pada malam sebelumnya, Sotheby’s memaklumkan bahawa lelongan itu akan diteruskan seperti yang dirancang.

    Kementerian Kebudayaan India menulis di X bahawa pihaknya ‘berbesar hati memaklumkan’ bahawa lelongan itu ditangguhkan selepas campur tangan mereka.

    Permata yang dikaitkan dengan awal perkembangan agama Buddha dipamerkan di Sotheby’s, Hong Kong, pada 6 Mei. – AFP

    Permata dalam lelongan di Hong Kong itu merupakan sebahagian daripada koleksi hampir 1,800 permata dan kepingan logam berharga – termasuk batu kecubung, mutiara dan kepingan emas yang dibentuk menjadi manik-manik kecil.

    Artifak tersebut digali di kampung Piprahwa, berhampiran tempat kelahiran Buddha dan dikaitkan dengan satu suku kaum yang mempunyai hubungan dengan tokoh agama tersebut.

    Pihak berkuasa India berkata satu tulisan pada salah satu bekas menyimpan artifak itu mengesahkan bahawa kandungannya – termasuk serpihan tulang – merupakan reli Buddha, yang telah diletakkan oleh suku Sakya.

    Dalam satu artikel yang ditulis untuk Sotheby’s, Chris Peppe menyatakan bahawa nenek moyangnya ‘menyerahkan permata, reli dan bekas simpanan itu kepada kerajaan India,’ dan keluarganya menyimpan ‘sebahagian kecil’ daripada penemuan tersebut. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda