Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 JAN – Ia merupakan kejutan tahun baharu yang amat indah bagi Dayang Soudah binti Haji Mahadi apabila muncul sebagai pemenang hadiah utama berupa sebuah Lexus LBX Hybrid dalam Kempen Apply and Win Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) dengan majlis penyampaian hadiah kepada pemenang-pemenang bertuah kempen berlangsung di Dewan Pameran Lexus, Gadong, hari ini.
Kempen yang dikendalikan sebagai sebahagian daripada BIBD Mega Karnival 2024, menyaksikan pengumuman dan penyampaian hadiah kepada pemenang-pemenang bertuah termasuk pemenang hadiah utama, Lexus LEX Hybrid serta lima hadiah lagi bagi pemenang-pemenang yang lain.
Hadir untuk menyempurnakan penyampaian hadiah kepada enam pemenang bertuah yang diraikan ialah Timbalan Pengarah Urusan 2 BIBD, Awang Irwan bin Haji Lamit. Beliau turut mengucapkan tahniah dan penghargaan kepada semua peserta yang telah menyokong kempen berkenaan.
Pada majlis berkenaan, hadiah utama iaitu Lexus LBX Hybrid dimenangi oleh Dayang Soudah. Sementara hadiah-hadiah menarik bagi kempen berkenaan iaitu Bundle LG Home bernilai $8,000 dimenangi oleh Awang Kamarulhamsah bin Mohd Yussof, Bundle Apple bernilai $7,000 dimenangi oleh Dayang Sadiah binti Morni, Bundle Dyson bernilai $5,000 dimenangi oleh Awang Ramlee bin Haji Hassan, Bundle Samsung bernilai $4,200 dimenangi oleh Dayangku Nurul Hismah binti Pengiran Yusof @ Dayangku Maimunah serta Bundle KitchenAid bernilai $2,000 dimena-ngi oleh Awang Mohammad Khairul Hisyamuddin bin Haji Kamransal.
Kempen itu dilancarkan semasa BIBD Mega Karnival pada lewat 2024 dan telah dilanjutkan kerana sambutan yang luar biasa daripada orang ramai. Lanjutan itu memastikan bahawa lebih ramai peserta berpeluang untuk terlibat dengan kempen serta berpeluang untuk memenangi hadiah-hadiah menarik.
Kempen Apply and Win menunjukkan komitmen BIBD untuk menjana penglibatan bermakna dengan pelanggan-pelanggannya sambil menyediakan peluang bagi mereka untuk memenangi ganjaran yang menarik.
Sambutan yang luar biasa daripada orang ramai menggariskan kejayaan kempen dan resonans kepada pelanggan-pelanggan BIBD dan masyarakat yang lebih luas.
BIBD kekal berdedikasi untuk memberikan ganjaran atas kesetiaan pelanggannya dan meningkatkan pengalaman perbankan menerusi kempen-kempen inovatif yang membawa nilai nyata kepada pelanggannya.
Dengan menjana peluang untuk melibatkan dan berhubung dengan pelanggannya secara konsisten, BIBD menegaskan semula komitmennya untuk melebihi jangkaan dan memenuhi keperluan mereka.
BIBD juga menyatakan penghargaan kepada pelanggan-pelanggannya atas penyertaan mereka yang telah menjadikan BIBD Mega Karnival sebuah acara yang diingati selalu.
Karnival itu juga menjadi sebuah platform penting bagi menyokong komuniti kita dengan memperkasakan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta mengetengahkan sumbangan mereka kepada ekonomi Brunei.