LONDON, 30 Mac – Pengurus England, Gareth Southgate bercadang menamakan skuad 23 pemain Piala Dunia lebih awal untuk mengelak kebimbangan dalam kalangan pemainnya.
Keputusan seri 1-1 dengan Itali awal pagi semalam adalah perlawanan terakhir England sebelum Southgate menamakan skuad yang akan beraksi pada pusingan akhir di Rusia dari 14 Jun hingga 15 Julai depan.
Southgate mempunyai masa hingga 14 Mei depan untuk mendaftar skuad sementara 35 pemain dengan FIFA dan perlu mengurangkannya kepada 23 pemain sebelum 4 Jun, dua hari selepas perlawanan persahabatan England berikutnya menentang Nigeria.
Namun bos England itu akan menamakan skuadnya sebelum aksi persahabatan itu dengan pengumuman dijangka sejurus selepas musim Liga Perdana Inggeris berakhir pada 13 Mei depan.
“Saya mahu menamakan skuad sebelum aksi persahabatan berikutnya kerana saya akan mendapat satu kem latihan terbaik,” kata pengurus England itu. “Saya fikir ada perbezaan dari segi perasaan setiap pemain.

“Jika anda menamakan 28 mereka tidak pasti, tapi jika anda menamakan 23 dan lima dalam senarai menunggu – yang dilakukan Sven (Goran Eriksson) dengan jayanya, maka setiap pemain sedar mereka akan menunggu.
“Jika anda mempunyai 28 atau 30 pemain yang berasakan mereka mungkin ada peluang, maka terlalu banyak kebimbangan dan ketidaktentuan dalam kalangan mereka,” katanya.
“Bagi saya, lebih bagus memilih 23 dan bekerja dengan mereka.”
Southgate sudah jelas bagaimana beliau mahu memenuhi slot 23 pemain dan mengenai identiti penjaga gol pilihan utamanya serta kapten. – AFP