LONDON, 29 MAC – Gareth Southgate menegaskan Harry Maguire masih mampu beraksi di peringkat tertinggi ketika pertahanan England itu bersiap untuk aksi persahabatan menentang Ivory Coast esok.
Maguire memanaskan bangku simpanan ketika kemenangan 2-1 ke atas Switzerland pada Sabtu lalu, susulan musim mengecewakan bersama Manchester United.
Pemain berusia 29 tahun itu telah bergelut musim ini, sehingga ada yang menuntut Southgate untuk menggugurkannya daripada skuad England.
Bagaimanapun Southgate ingin menggunakan kembali khidmat Maguire selepas Ben White, Marc Guehi dan Conor Coady menampilkan aksi kurang memberangsangkan di benteng ketika bertemu Switzerland.
“Harry membawa kami ke separuh akhir Piala Dunia dan final Kejuaraan Eropah, jadi tanpa ragu-ragu dia mampu beraksi di peringkat tertinggi.
“Dia cemerlang bersama kami sebelum ini, dan kelab berada dalam keadaan sukar. Mungkin terdapat beberapa perkara yang menyebabkannya,” kata Southgate.
Bagaimanapun, pengendali England itu tidak mahu Maguire mengambil mudah kedudukannya dalam skuad dan dia masih perlu bersaing untuk mendapat tempat di Qatar nanti.
“Dari segi pemilihan, sentiasa timbulnya teka-teki sukar disebabkan kami mempunyai pemain yang kami tahu telah mencatat prestasi cemerlang dalam jersi England,” katanya.
“Perlu adanya pemantauan mengenai cara pemain beraksi dengan kelab mereka kerana ia merupakan faktor penyebab kepada masalah yang dihadapi.
“Ia tidak bermakna pemain boleh menjadi lemah untuk beberapa tahun dan seterusnya masih menemui rentak permainan dan ada kalanya ia bergantung pada persaingan untuk kedudukan.
“Kami jelasnya telah meninggalkan beberapa penyerang, yang belum beraksi cemerlang tetapi terdapatnya gantian, pemain berpengalaman. Seperti yang saya katakan, ia merupakan satu keputusan yang rumit.” – AFP