SIBU, 20 JAN – Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA) mempertimbangkan untuk membuka sebuah Pusat Temu Duga di Limbang iaitu bahagian paling utara di Sarawak pada masa akan datang.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Jailani Muhamed Yunus berkata ini mengambil kira keluasan Sarawak dan SPA berhasrat memberikan penduduk di bahagian berkenaan akses kepada pusat itu.
Pusat temu duga terdekat dengan bahagian itu adalah di bandar raya Miri yang sejauh kira-kira 188 kilometer.
“Pembukaan pusat itu akan mengambil kira jumlah calon yang memohon pekerjaan perkhidmatan awam di bahagian berkenaan,” katanya.
Beliau merangkap pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (SPKP) berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Pusat Temu Duga SPA Sibu di Pusat Transformasi Bandar (UTC) hari ini.
Ahmad Jailani berkata SPA berusaha meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat, khususnya kepada pemohon pekerjaan dengan menyediakan prasarana selesa dan selamat selain mesra kepada golongan orang kurang upaya.
Perkara berkenaan sudah tersedia di bangunan Pusat Transformasi Bandar (UTC) bagi kemudahan rakyat mendapat perkhidmatan kerajaan dengan mengoptimumkan kapasiti dan sumber sedia ada. – Bernama