Spa, pusat refleksologi Di S’wak dibenar beroperasi

KUCHING, 6 JULAI – Semua spa, pusat refleksologi dan urut kaki di Sarawak dibenarkan beroperasi kembali bermula hari ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Uggah yang juga Timbalan Ketua Menteri I berkata Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak telah menetapkan garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) yang diperlu dipatuhi oleh semua pusat berkenaan.

“Selain itu, Kementerian Pelancongan, Kesenian dan kebudayaan Sarawak (MTAC) telah menetapkan garis panduan untuk pelancongan perubatan di negeri ini berkuat kuasa serta-merta.

“MTAC juga telah menetapkan SOP untuk penganjuran seperti mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE), pameran pelancongan dan perdagangan, bazar serta karnival kesenian dan kebudayaan berkuat kuasa serta-merta,” katanya pada sidang media perkembangan COVID-19 di sini.

Sementara itu, Uggah berkata semua warga Malaysia dari luar negara termasuk warga asing yang transit di Lapangan Terbang Antarabangsa KL untuk ke Sarawak akan dikuarantin 14 hari di destinasi terakhir mereka tiba di Sarawak. – Bernama