NEW YORK, 25 DIS – Pemilik Syarikat British Airways, IAG SA sedang berbincang dengan Starlink milik Elon Musk untuk melengkapkan armada kapal terbangnya dengan perkhidmatan Wi-Fi.
Perbincangan berkenaan mencerminkan perkembangan pesat perniagaan Internet satelit oleh SpaceX dengan syarikat penerbangan global utama, lapor Bloomberg News kelmarin.
IAG yang juga memiliki syarikat Iberia di Sepanyol dan syarikat Aer Lingus di Ireland, belum membuat keputusan muktamad dan sedang mempertimbangkan pilihan dengan pelbagai pembekal termasuk Project Kuiper yang baru dari Amazon, menurut laporan itu.
“Rundingan itu menggariskan perubahan besar dalam pasaran perkhidmatan penerbangan yang didorong oleh penempatan buruj satelit yang mengorbit lebih dekat dengan Bumi,” menurut laporan itu.
“Syarikat penerbangan berkenaan akan memeterai perjanjian dengan Starlink dan yang lain-lain untuk menggantikan perkhidmatan Wi-Fi dalam penerbangan yang mahal dan terhad. Jalur lebar satelit ini akan membantu kemudahan Internet lebih dekat dengan harapan penumpang di lapangan,” tambah laporan berkenaan.
Setakat ini, Starlink, inisiatif Internet-dari-angkasa oleh SpaceX, mempunyai kira-kira 4 juta pelanggan melalui rangkaian beribu-ribu satelit dalam orbit yang agak rendah mengelilingi Bumi. – Xinhua
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2024/12/3-Wifi.jpg)