LOS ANGELES, 15 MEI – SpaceX sedang bersiap sedia untuk melancarkan ujian penerbangan kesembilan roket Starship seawal minggu depan, menurut pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif SpaceX, Elon Musk.
Syarikat itu pada Selasa berkata Starship telah menamatkan ujian pembakaran statik jangka panjang ke atas enam enjinnya dan kini sedang menjalani persiapan akhir menjelang ujian penerbangan yang akan datang.
“Sebelum penerbangan Starship minggu depan, saya akan memberikan taklimat syarikat mengenai pelan strategi Marikh di Starbase, Texas, yang juga akan disiarkan secara langsung di X,” kata Musk dalam satu hantaran di platform media sosial tersebut.
Starship kali terakhir dilancarkan pada 6 Mac dalam ujian penerbangan kelapan, di mana SpaceX terputus komunikasi dengan kapal angkasa itu sejurus selepas pelancaran.
Kapal angkasa Starship dan roket Super Heavy, yang secara kolektif dikenali sebagai Starship, merupakan sistem pengangkutan boleh guna semula sepenuhnya yang direka untuk membawa kru dan kargo ke orbit Bumi, bulan, Marikh dan destinasi seterusnya. – Xinhua
