Monday, March 17, 2025
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    SpaceX Crew Dragon berjaya mendarat di ISS

    KENNEDY SPACE CENTER, 16 MAC – Dua angkasawan NASA yang terkandas selama lebih sembilan bulan di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) kini bakal pulang ke Bumi selepas kapal angkasa SpaceX Crew Dragon berjaya berlabuh dengan makmal orbit itu hari ini.

    Momen bersejarah itu disiarkan secara langsung di televisyen, memperlihatkan angkasawan Butch Wilmore dan Suni Williams berpelukan dengan kru baharu dalam suasana graviti sifar sejurus selepas SpaceX Crew Dragon tiba pada pukul 5:45 pagi.

    SpaceX Crew Dragon berlabuh dengan Stesen Angkasa Antarabangsa untuk menemui angkasawan yang telah terkandas selama lebih sembilan bulan. – AFP

    Wilmore dan Williams sebelum ini terperangkap di ISS sejak Jun lalu selepas kapal angkasa Boeing Starliner yang mereka uji mengalami masalah sistem pendorongan dan dianggap tidak selamat untuk membawa mereka pulang ke bumi.

    “Hari ini hari yang luar biasa. Sangat gembira dapat melihat rakan-rakan kami tiba,” kata Williams selepas menyambut kedatangan kru pengganti mereka.

    Rakaman yang dimuat naik oleh angkasawan NASA, Don Pettit, menunjukkan Crew Dragon menghampiri ISS ketika stesen itu mengorbit bumi.

    Sebelum ini, Starliner yang mereka naiki telah dihantar pulang ke Bumi tanpa kru selepas NASA memutuskan kapal angkasa itu tidak lagi selamat untuk digunakan, menyebabkan Wilmore dan Williams terpaksa tinggal di ISS lebih lama daripada misi asal yang hanya dirancang untuk beberapa hari.

    Tempoh mereka di ISS melebihi jadual biasa bagi angkasawan, iaitu sekitar enam bulan. Namun, ia masih jauh lebih pendek berbanding rekod angkasa lepas AS yang dicatat oleh Frank Rubio pada 2023 dengan 371 hari di ISS, atau rekod dunia yang dipegang oleh kosmonaut Rusia, Valeri Polyakov, dengan 437 hari di stesen angkasa Mir.
    – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda