BOCA CHICA, 7 MAC – Syarikat angkasa Elon Musk, SpaceX, sekali lagi kehilangan bahagian atas roket Starship dalam satu letupan besar kelmarin, meskipun pendorongnya berjaya ditangkap dalam ujian orbit – hampir sama dengan percubaan sebelum ini.
Beberapa minit selepas pelancaran dan pemisahan pendorong, siaran video langsung menunjukkan bahagian atas roket menjunam tanpa kawalan sebelum isyarat terputus secara mendadak.
Rakaman dramatik yang tular di media sosial menunjukkan serpihan bara merah panas jatuh ke atas Kepulauan Bahamas.
“Memang kami terputus hubungan dengan kapal. Malangnya, kejadian ini juga berlaku pada penerbangan yang lepas,” kata jurucakap SpaceX, Dan Huot, merujuk kepada penerbangan Januari lalu yang turut berakhir dengan bahagian atas roket hancur di atas Laut Caribbean.
Kesan daripada insiden tersebut memberi impak segera kepada ruang udara Amerika Syarikat (AS).

Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) mengaktifkan buat sementara waktu ‘kawasan respons serpihan,’ menyebabkan kelewatan penerbangan dari lapangan terbang seperti Newark dan Philadelphia hingga ke Miami.
Agensi tersebut mengesahkan bahawa SpaceX dikehendaki menjalankan siasatan sebelum dibenarkan untuk melancarkan semula.
SpaceX dalam satu kenyataan berkata bahawa ‘kejadian penuh bertenaga di bahagian belakang Starship’ telah ‘mengakibatkan kehilangan beberapa enjin Raptor’.
“Ini seterusnya menyebabkan… komunikasi terputus dengan Starship,” tambahnya, sambil menegaskan tiada bahan toksik dijumpai dalam serpihan tersebut.
“Kami akan menjalankan siasatan menyeluruh, bekerjasama dengan FAA dan melaksanakan tindakan pembetulan.”
Walaupun menghadapi halangan, pendekatan ‘gagal cepat, belajar cepat’ SpaceX telah membantunya menjadi penyedia perkhidmatan pelancaran dominan dunia. – AFP