WASHINGTON, 12 NOV – Syarikat SpaceX semalam melancarkan set kedua satelit mini tatkala ia membina kumpulan peranti orbit kecil bertujuan menambah akses internet di seluruh dunia.
Roket Falcon-9 dilancarkan dari Cape Canaveral, Florida, menempatkan 60 satelit mini di orbit, dan menyertai 60 satelit lain yang dilancarkan pada Mei.
Rangkaian Starlink syarikat Amerika Syarikat (AS) itu mungkin mempunyai jumlah 42,000 satelit pada satu hari nanti, mengakibat langit yang lebih sesak dan menimbulkan kebimbangan di kalangan sesetengah saintis.
Pelancaran disiarkan secara langsung oleh SpaceX, syarikat yang ditubuhkan oleh usahawan Elon Musk, yang juga ketua eksekutif Tesla Inc.
Matlamat SpaceX adalah mengawal bahagian pasaran internet yang besar dalam angkasa lepas pada masa akan datang.

Musk berharap dapat mengawal tiga hingga lima peratus daripada pasaran internet global, saham yang dinilai pada AS$30 bilion setahun, atau 10 kali lebih yang diperoleh oleh SpaceX daripada pelancaran angkasa lepasnya.
Syarikatnya setakat ini telah menerima kebenaran dari pihak berkuasa AS untuk melancarkan 12,000 satelit di beberapa orbit berlainan, dan ia telah memohon untuk melancarkan 30,000 lagi.
Starlink bertujuan menyediakan sambungan internet berkelajuan tinggi di Bumi.
Satelit mininya akan mengelilingi orbit pada altitud rendah, membenarkan masa transmisi yang cepat.
SpaceX berkata kumpulan satelitnya akan beroperasi untuk Kanada dan utara AS pada tahun depan. – AFP