YANGON, 22 OKT – SpaceX telah menghentikan perkhidmatan lebih 2,500 peranti Starlink di pusat penipuan di Myanmar, menurut kenyataan seorang eksekutif syarikat itu hari ini, selepas laporan AFP mendedahkan penggunaan terminal satelit internet itu meluas dalam industri haram tersebut.
Pusat penipuan yang luas, di mana sindiket menggunakan internet untuk menipu warga asing melalui penipuan percintaan dan perniagaan, berkembang pesat di sempadan Myanmar yang kurang dikawal, terutamanya sejak perang saudara selepas rampasan kuasa pada 2021.
Operasi penguatkuasaan yang mendapat liputan meluas pada Februari lalu menyaksikan kira-kira 7,000 pekerja dihantar pulang dan Thailand menutup sambungan Internet merentas sempadan.
Bagaimanapun, penyiasatan AFP bulan ini mendapati pembinaan di pusat-pusat itu terus rancak, sementara penerima Starlink dipasang secara besar-besaran, seolah-olah menghubungkan lokasi itu ke rangkaian satelit milik Elon Musk.
Lauren Dreyer, naib presiden operasi perniagaan Starlink di SpaceX, berkata syarikat itu telah melumpuhkan lebih 2,500 peranti Starlink di kawasan berdekatan pusat penipuan yang disyaki. Beliau tidak menyatakan bila terminal itu diputuskan sambungannya.
Sebelum ini, tentera Myanmar mengumumkan operasi di KK Park, salah satu pusat penipuan paling terkenal di negara itu, dan merampas 30 terminal internet satelit Starlink, jumlah yang hanya sebahagian kecil daripada yang digunakan di lokasi tersebut.
Wartawan AFP hari ini menyaksikan lebih 1,000 individu meninggalkan lokasi dengan berjalan kaki, motosikal dan kenderaan pacuan empat roda. Seorang pekerja KK Park yang meninggalkan lokasi berkata operasi penguatkuasaan masih diteruskan.
Pusat penipuan itu telah menjadi salah satu komponen utama ekonomi perang Myanmar, di mana tentera negara itu masih bergelut dengan pelbagai kumpulan pemberontak sejak mengambil alih kuasa. – AFP


