WASHINGTON, 30 MAC – SpaceX menangguhkan penerbangan ujian terbaharu roket prototaip antara planet, Starship di fasiliti Texas Selatan, kata pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif, Elon Musk, semalam.
“Pemeriksa FAA (Pentadbiran Penerbangan Persekutuan) tidak dapat menghubungi Starbase pada waktunya bagi pelancaran hari ini,” katanya melalui Twitter.
“Ia akan ditunda selewat-lewatnya esok,” katanya.
Setakat ini, tidak ada tempoh masa pelancaran yang disediakan.
Syarikat itu berharap dapat melakukan ujian percubaan yang berjaya selepas tiga percubaan terakhir berakhir dengan insiden letupan dan ia diberi tempoh masa selama lima jam untuk melakukan aktiviti penerbangan angkasa oleh pihak berkuasa tempatan, semalam.
SN11 adalah prototaip ke-11 Starship, yang diharapkan SpaceX untuk dapat menerbangkan misi ke Bulan, Marikh dan planet lain.
Ia akan menjadi yang keempat untuk melakukan penerbangan ujian, dengan mendaki ke ketinggian 10 kilometer sebelum melakukan pendaratan menegak.
SpaceX merancang untuk menggabungkan kapal angkasa Starship dengan roket Super Heavy, yang mewujudkan sistem yang boleh digunakan semula sepenuhnya.
Versi terakhir itu akan terbang setinggi 120 meter dan mampu membawa muatan 100 tan ke orbit Bumi, menjadikannya kenderaan pelancaran paling kuat yang pernah dibangunkan. – AFP