Wednesday, February 19, 2025
28.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Speaker nafi terlibat rasuah

    JAKARTA, 18 Julai – Agensi anti-rasuah Indonesia telah menamakan speaker parlimen negara sebagai suspek dalam skandal rasuah besar yang dianggarkan telah menyalurkan kira-kira AS$170 juta daripada tabung kerajaan.

    Suruhanjaya Pembasmian Rasuah menamakan speaker dewan Setya Novanto sebagai suspek lewat semalam dalam kes rasuah yang juga telah membabitkan ahli politik senior lain, termasuk menteri keadilan, bekas menteri dalam negeri dan beberapa gabenor.

    Ketua suruhanjaya, Agua Rahardjo, berkata Novanto “didakwa menyalahgunakan kuasa dan kedudukannya demi kepentingan peribadi atau untuk kepentingan koperasi.”

    Penyiasat mendakwa Novanto adalah antara ramai ahli politik yang menerima wang sogokan daripada tabung yang diperuntukkan untuk projek kerajaan untuk mengeluarkan kad pengenalan kepada 255 juta penduduk negara.

    “Semua tuduhan adalah tidak benar,” beritahu Novanto pada persidangan akhbar hari ini.

    Setya Novanto (tengah) ketika bercakap di sidang media di Jakarta Indonesia pada 18 Julai. – AP
    Setya Novanto (tengah) ketika bercakap di sidang media di Jakarta Indonesia pada 18 Julai. – AP

    Mahkamah anti-rasuah khas Indonesia berkata lebih satu pertiga daripada 5.9 trilion rupiah dana digelapkan oleh satu rangkaian ahli politik dan ahli perniagaan dalam satu skim yang didakwa berlaku dari tahun 2009 hingga 2015.

    Novanto, yang juga pengerusi parti pemerintah Golkar, adalah suspek keempat yang diumumkan dalam kes, yang mungkin menjadi satu ujian kerelaan Presiden Joko Widodo untuk mengambil langkah keras ke atas rasuah memandangkan kebanyakan mereka yang terbabit itu adalah dalam kalangan pegawai kerajaan.

    Novanto sebelum ini telah dinamakan sebagai suspek dalam satu lagi kes rasuah yang memaksa beliau meletak jawatan sebagai speaker pada 2015 apabila beliau dituduh memeras saham daripada syarikat perlombongan Amerika Syarikat Freeport-McMoRan sebagai tukaran kepada pelanjutan hak syarikat untuk beroperasi di gugusan kepulauan itu. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda