LONDON, 31 Jan – Jose Mourinho, juga digelar ‘Special One’, telah menolak ‘tawaran besar’ untuk pergi ke China, dedah pengurus Manchester United itu dalam satu temu bual yang diterbitkan semalam.
Pengurus dari Portugal berusia 54 tahun itu tidak mendedahkan kelab mana yang telah membuat tawaran itu tetapi dia tidak akan mengkritik sesiapa sahaja yang telah membuat perpindahan mewah ke Liga Super China yang semakin berkembang.
Minggu lepas telah menyaksikan Mourinho membuat ekspresi keraguan mengenai masa depan kapten United, Wayne Rooney, yang baru sahaja menjadi penjaring terbanyak sepanjang masa United, dengan berkata ‘wang begitu banyak’ di China, di tengah-tengah laporan mengenai minat Asia untuk mendapatkan penyerang itu.
“Saya sudah menolak satu tawaran besar untuk pergi ke China, tetapi saya tidak mengkritik sesiapa saya yang telah membuat keputusan untuk menerimanya,” kata Mourinho memberitahu majalah lelaki GQ.
“Ia adalah pilihan mereka, hidup mereka. Hanya mereka boleh membuat keputusan apa yang mereka perlukan bagi masa depan mereka. Para pengurus lain dalam Liga Perdana begitu mengkritik, tetapi saya bukan pengkritik.”
Beberapa orang pengurus berprofil tinggi seperti Luiz Felioe Scolari dan Sven-Goran Eriksson sudah berada di Liga Super China, sementara pada bulan ini telah menyaksikan penyerang Argentina, Carlos Tevez telah menyertai Shanghai Shenhua dari Boca Juniors.
Mourinho juga berkata dia agak ‘bimbang’ mengenai prospek kehilangan pemain kepada China dan mengesa mereka untuk memikirkan lebih daripada wang.
“Jika anda membuat perbincangan mengenai kontrak baru dengan salah seorang pemain anda, dan anda menawarkannya 5 juta pound setahun dan mereka pula menawarkan 25 juta pound setahun, kemudian anda mempunyai satu masalah besar,” akui Mourinho.
“Saya bimbang, kerana mereka menawarkan kontrak yang mustahil ditawarkan di Eropah.” Tambahnya. – AFP