Saturday, December 7, 2024
26.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Speedy Tigers tekad raih emas sulung di Sukan Asia

    HANGZHOU, 22 SEPT – Pasukan lelaki Malaysia telah bermain dalam kesemua 16 edisi sejak hoki membuat penampilan sulung di Sukan Asia pada 1958 di Tokyo, namun pingat emas yang diidam sentiasa terlepas daripada genggaman.

    Apabila Speedy Tigers masuk ke gelanggang menentang Thailand dalam perlawanan pembukaan Kumpulan B di Stadium Gongshu Canal Sports Park, esok, penampilan ke-17 pasukan Malaysia di Sukan Asia, dengan satu matlamat iaitu untuk merangkul emas sulung.

    Pingat emas berkenaan, selain memberi penghormatan kepada juara kejohanan empat tahun sekali itu, juga akan membantu pasukan negara muncul kembali di Sukan Olimpik setelah lebih dua dekad tidak menyertainya, kerana pemenang Sukan Asia akan mendapat slot secara automatik ke Sukan Olimpik 2024 di Paris.

    Kali terakhir Speedy Tigers beraksi di gelanggang Olimpik adalah pada edisi Sydney 2000.

    Ketua jurulatih, A Arulselvaraj, yang penunjuk prestasi utamanya antara lain untuk membawa kembali pasukan ke Sukan Olimpik, mahu tugasnya difokuskan ke arah misi itu, kerana saat yang paling ditunggu sejak mengambil alih pasukan pada pertengahan 2020 kini tiba.

    “Saya memberitahu pemain supaya bermimpi, walaupun sebelum kami memulakan latihan hari ini. Saya mahu mereka menikmati stadium, berjalan-jalan, ia adalah stadium yang cantik.

    “Kami mahu mencipta sejarah dan suka melakukan sesuatu untuk hoki Malaysia dan untuk diri kami sendiri,” katanya kepada Bernama ketika ditemui hari ini selepas latihan rasmi pertama pasukan di venue setelah tiba di Games Village, kelmarin. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda