KUALA LUMPUR, 16 SEPT – Malaysia terpaksa menerima hakikat apabila tewas 2-4 kepada Jepun menerusi penentuan penalti shoot-out dalam aksi klasifikasi kelima dan keenam Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2024 di Hulunbuir, China hari ini.
Dua gol itu diperoleh menerusi Faizal Saari dan Norsyafiq Sumantri, manakala Kosei Kawabe, Kazumasa Matsumoto, Seren Tanaka dan Tsubasa Tanaka merupakan penyumbang jaringan buat Jepun.
Terdahulu, perlawanan itu diheret sehingga penentuan penalti shoot-out selepas kedua-dua pasukan terikat 4-4 selepas tamat masa sebenar dengan pasukan Matahari Terbit itu terlebih dahulu memperoleh jaringan pembukaan menerusi gol padang Kazumasa Matsumoto seawal minit ketiga perlawanan.
Selang dua minit kemudian, Mohamad Akhimullah Anuar Esook menyamakan kedudukan hasil pukulan sudut penalti sebelum Faizal Saari terus menggandakan kedudukan Speedy Tigers pada minit ke-21.
Bagaimanapun, Yuki Chiba berjaya menjaringkan gol padang tiga minit kemudian sebelum Faizal menyempurnakan penalti stroke pada minit ke-32 sebelum Kazumasa kembali menyamakan kedudukan apabila menyempurnakan jaringan padang lima minit kemudian.
Mohd Fitri Saari yang meletakkan Malaysia di kedudukan selesa menerusi gol padang pada minit ke-47 perlu menerima hakikat apabila Seren Tanaka bijak memanfaatkan peluang dengan menghasilkan gol padang pada minit akhir perlawanan. – Bernama