Sunday, November 27, 2022
22 C
Brunei

-

Spekulasi p’raya M’sia membahang

KUALA LUMPUR, 6 OKT – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, ketika spekulasi mengenai pembubaran parlimen untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bertiup kencang.

Perdana Menteri memasuki pintu pagar utama Istana Negara pada pukul 3:49 petang dengan menaiki kenderaan rasmi kerajaan dan sempat melambai ke arah media yang menanti sejak awal pagi, sebelum dilihat meninggalkan perkarangan Istana Negara pada pukul 4:45 petang.

Turut kelihatan memasuki Istana Negara adalah Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jen Tan Sri Affendi Buang.

Kebiasaannya menjadi rutin Ismail Sabri untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong sehari sebelum berlangsungnya mesyuarat mingguan kabinet.

Sekiranya mesyuarat Kabinet diadakan pada Rabu, beliau akan menghadap Yang di-Pertuan Agong pada Selasa dan sekiranya pada Jumaat, Ismail Sabri akan menghadap pada Khamis.

Meskipun majlis menghadap Yang di-Pertuan Agong itu merupakan rutin biasa beliau sebelum mesyuarat Kabinet esok, namun banyak spekulasi mengaitkan pertemuan itu bagi memohon perkenan Seri Paduka Baginda untuk pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU15.

Pergerakan Ismail Sabri menjadi perhatian media selepas desas-desus pembubaran parlimen hangat diperkatakan susulan keputusan Majlis Tertinggi UMNO Jumaat lepas yang mahu parlimen dibubarkan dalam masa terdekat bagi membolehkan PRU15 diadakan tahun ini.

Sebelum bergerak ke Istana Negara hari ini, Ismail Sabri  yang juga Naib Presiden UMNO singgah di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur dipercayai untuk berjumpa dengan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Sebelum itu, beliau meninjau persiapan Bajet 2023 di Kementerian Kewangan di Putrajaya.

Ditemui selepas meninjau persiapan Bajet 2023 itu, Ismail Sabri berkata ‘agenda tambahan’ termasuk berkaitan pembubaran Parlimen mungkin dibincangkan pada majlis menghadap Yang di-Pertuan Agong hari ini jika berkesempatan, kerana fokus utama perbincangan beliau adalah mengenai perihal kabinet. – Bernama

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meninggalkan Istana Negara selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. – Bernama
- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Korea Selatan lancar bas pandu sendiri

SEOUL, 25 NOV – Ibu negara Korea Selatan melancarkan laluan bas pandu sendiri pertama hari ini, sebahagian daripada uji kaji yang dikatakan jurutera berhasrat...
- Advertisment -