Oleh Hajah Saemah Kepli
KUALA BELAIT,13 Sept – Bagi menceriakan suasana cuti penggal persekolahan, Pusat Beli Belah KBSentral telah mengadakan Pertandingan ‘Spelling Bee’, yang dibukakan untuk kanak-kanak berusia lapan tahun ke atas, kelmarin.
Kira-kira 20 orang peserta kanak-kanak telah menyertai pertandingan itu yang dibahagikan kepada tiga pusingan, di mana hanya lima peserta yang layak meneruskan ke pusingan seterusnya bagi menentukan dua peserta terbaik tempat pertama dan kedua.
Muncul juara pertandingan itu ialah Yzha Loraine Raga Deseo, 14, diikuti oleh Wadi Hamsyari bin Hamdani, 12, dan Mohd Darryl Rafael bin Edy Asmyra,10 di tempat ketiga.

Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Pegawai Penolong Pemasaran dan Acara, Dayang Norazizah.
Menurut Dayang Norazizah, aktiviti itu bertujuan mengisi masa luang cuti sekolah, selain dapat mencerdaskan minda peserta dan menceriakan suasana di kompleks membeli-belah itu.
Pertandingan ‘Spelling Bee’ merupakan ujian minda melalui ejaan perkataan yang luas, biasanya dengan tahap kesukaran yang berbeza dan memerlukan kecekapan pesertanya daripada segi pengetahuan perkataan dan ejaan di mana ia saling dikaitkan dengan hubungan suka membaca dan sebagainya.