LONDON, 4 SEPT – Pemain pertahanan Tottenham, Djed Spence menyatakan peluang untuk mencipta sejarah sebagai pemain lelaki pertama yang secara terbuka memperkenalkan dirinya sebagai seorang Muslim untuk mewakili England merupakan ‘satu rahmat’ ketika dia bersiap sedia untuk membuat penampilan sulung.
Pemain berusia 25 tahun itu adalah antara dua wajah baharu yang dimasukkan dalam skuad Thomas Tuchel untuk perlawanan kelayakan Piala Dunia menentang Andorra dan Serbia.
Difahamkan Spence mungkin menjadi lelaki pertama yang beragama Islam bermain untuk pasukan senior England.
“Saya telah melihatnya,” kata pemain pertahanan serba boleh itu di pusat latihan England.
“Ia adalah satu rahmat, sangat menakjubkan. Saya benar-benar terkejut. Saya tidak tahu bagaimana untuk mengungkapkannya.”

Namun, bekas pemain antarabangsa England Bawah 21 Tahun itu mengatakan dia tidak berasa tertekan, sambil menambah, “Saya hanya bermain bola sepak dengan senyuman di muka.”
Kepercayaannya dalam agama membentuk sebahagian besar daripada identitinya dan merupakan sesuatu yang sering diketengahnya di media sosial.
“Apabila saya menang, apabila saya berada dalam keadaan baik, saya juga memuji Tuhan kerana Dia sentiasa berada di sisi saya. Ia adalah perkara besar bagi saya, keimanan saya.”
Kebangkitan Spence dalam kariernya adalah satu perjalanan yang perlahan.
Selepas mencatat prestasi mengagumkan dalam perlawanan Liga Kejuaraan bersama Middlesbrough dan Nottingham Forest, dia berpindah ke Tottenham di Liga Perdana pada
2022.
Namun, dia pada mulanya bergelut untuk memberi impak di bawah bekas pengurus Tottenham, Antonio Conte dan telah dipinjamkan ke Rennes, Leeds dan Genoa. – AFP

