ABU DHABI, 10 OKT – Anjing laut Artik dan burung kini berdepan ancaman yang semakin meningkat, terutamanya akibat perubahan iklim dan aktiviti manusia, menurut senarai spesies terancam yang dikemas kini dan dikeluarkan hari ini oleh badan pemuliharaan alam sekitar terkemuka dunia.
Senarai itu menyatakan kehilangan habitat akibat pembukaan tanah pertanian dan pembalakan sebagai ancaman utama kepada burung, manakala anjing laut pula berisiko tinggi akibat pemanasan global dan aktiviti manusia termasuk trafik maritim.
Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN) mengumumkan pada Kongres Pemuliharaan Sedunia di Abu Dhabi bahawa status anjing laut telah diturunkan daripada ‘mudah terancam’ kepada ‘terancam’, manakala anjing laut berjanggut dan anjing laut harp kini diklasifikasikan sebagai hampir terancam.
“Senarai Merah IUCN kini merangkumi 172,620 spesies, dengan 48,646 daripadanya berisiko pupus,” menurut kenyataan itu.
Pemanasan global memusnahkan habitat semula jadi haiwan termasuk anjing laut yang hidup di kawasan berais. Trafik maritim, perlombongan dan pengekstrakan minyak, perikanan industri serta aktiviti memburu turut menjadi ancaman utama terhadap spesies ini.

“Pemanasan global berlaku empat kali lebih pantas di Artik berbanding wilayah lain, sekali gus mengurangkan keluasan dan tempoh litupan ais laut secara mendadak,” kata IUCN.
Anjing laut yang bergantung pada ais merupakan sumber makanan penting kepada haiwan lain. Haiwan berkenaan memainkan peranan utama dalam rantaian makanan, memakan ikan dan invertebrata serta mengitar semula nutrien dan dianggap sebagai ‘spesies utama’ dalam ekosistem mereka.
Penilaian terhadap burung dalam senarai merah ini merupakan hasil sembilan tahun kerja oleh ribuan pakar.
“Secara keseluruhan, 61 peratus spesies burung menunjukkan penurunan populasi, satu peningkatan daripada 44 peratus pada tahun 2016,” kata IUCN.
Kajian terhadap ribuan spesies burung di seluruh dunia mendapati ‘1,256 (11.5 peratus) daripada 11,185 spesies yang dinilai kini terancam secara global.’
Kemas kini tahun ini memberi tumpuan kepada kawasan di mana kemusnahan hutan tropika menjadi ancaman utama terhadap populasi burung.
Di Madagascar, 14 spesies diklasifikasikan sebagai ‘hampir pupus’ dan tiga lagi dilabel ‘mudah terancam’. Di Afrika Barat, lima spesies burung dikenal pasti sebagai ‘hampir pupus’ dan satu lagi di Amerika Tengah.
Laporan itu turut membawa berita baik iaitu penyu hijau kini tidak lagi dikategorikan sebagai spesies terancam, hasil tindakan pemuliharaan berterusan beberapa dekad yang menyaksikan populasinya meningkat sebanyak 28 peratus sejak 1970an. – AFP

