Friday, May 2, 2025
26.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Spesies belanak, serupa tidak sama

    Oleh Raz AS

    Ikan belanak atau juga dikenali sebagai mullet dalam Bahasa Inggerisnya adalah ikan yang tergolong dalam keluarga Mugilidae yang boleh ditemui di serata dunia yang beriklim tropika dan subtropika. Secara amnya terdapat kira-kira 78 spesies yang terkandung dalam keluarga yang sama.

    Ikan belanak mempunyai bentuk badan yang memanjang dan pipih di atas, mulut kecil berbentuk segi tiga dan dua sirip dorsal yang tidak bersambung.

    Di negara kita, spesies-spesies ikan belanak dikenali dengan nama banting-banting, kembura, tangat dan andapong yang boleh dibezakan dengan warna, sisik, saiz dan bentuknya meskipun kelihatan seakan-akan sama pada mata orang yang kurang mengenalinya.

    Ikan belanak boleh ditemui di perairan masin terutama di kawasan muara sungai dan pesisir pantai. Ikan ini selalunya berkumpul dalam saiz kawanan yang besar dan berenang berdekatan dengan permukaan air.

    Kehadirannya selalunya sangat mudah dikesan kerana ikan ini selalu melompat-lompat keluar dari air terutama ketika melarikan diri daripada pemangsa atau kerana gangguan lain seperti bot lalu.

    Spesies-spesies ikan belanak mempunyai bentuk badan yang hampir sama iaitu memanjang dan pipih di atas, mulut kecil berbentuk segi tiga dan dua sirip dorsal yang tidak bersambung.

    Diet utama ikan belanak terdiri daripada tumbuhan dalam air seperti lumut (alga), organisme reput di dasar sungai dan krustasea kecil seperti bubuk.

    Ikan belanak mempunyai nilai dan dianggap sebagai salah satu ikan komersial yang penting, dijual di pasar-pasar sebagai makanan.

    Selalunya diburu oleh nelayan menggunakan rambat dan pukat, ikan ini terkenal dijadikan umpan mujarab untuk memikat spesies-spesies terhebat muara seperti ikan selongsong dan ungah di kalangan kaki pancing.

    Manakala itu spesies yang lebih besar seperti tangat dan andapong turut terkenal diburu oleh kalangan pemancing-pemancing tempatan dengan menggunakan umpan roti paun dan bubuk kering atau basah.

    Badannya yang berbentuk seakan-akan torpedo mempunyai kuasa pecutan deras yang boleh memberikan tentangan hebat dan kepuasan kepada pemancing.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda