Thursday, January 23, 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Spesies hidupan liar ditemui di taman negara Kemboja

    PHNOM PENH, 22 JAN – Kajian bertahun-tahun di Taman Negara Virachey, Kemboja, telah mendedahkan spesies terancam yang belum pernah direkodkan di negara itu, menekankan keperluan untuk usaha pemuliharaan yang lebih giat, menurut kumpulan alam sekitar hari ini.

    Kajian itu menemui fauna seperti tenggiling hingga kijang muncak bertanduk besar yang dikategorikan sebagai kritikal terancam di taman seluas lebih 405,000 hektar yang terletak di timur laut Kemboja, bersempadan dengan Laos dan Vietnam.

    Lebih 150 kamera dipasang sepanjang kajian itu, selain penglibatan masyarakat tempatan untuk mendokumentasikan flora dan fauna di kawasan perlindungan tersebut.

    Sebanyak 89 spesies dikesan, termasuk 20 spesies yang terancam secara global seperti lotong merah, tenggiling Sunda, harimau dahan, anjing liar Asia (dhole) dan beruang matahari, menurut organisasi pemimpin kajian, Fauna & Flora.

    Kajian itu turut menemui sembilan spesies baharu yang tidak pernah direkodkan di Kemboja, termasuk kijang muncak bertanduk besar, cicak kaca Sokolov dan cicak daun Vietnam.

    “Penemuan ini mengukuhkan kepentingan taman ini sebagai kubu biodiversiti dan memberikan bukti kukuh untuk meningkatkan usaha pemuliharaan,” kata Pablo Sinovas, pengarah negara program Fauna & Flora di Kemboja, kepada wartawan. – AFP

    Gambar AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda