CANBERRA, 26 APRIL – Penyelidik Australia menemui labah-labah gergasi daripada spesies Euoplos dignitas di kawasan hutan dekat Brigalow Belt, sebuah wilayah di tengah Queensland Australia baru-baru ini.
Portal BBC melaporkan, spesies labah-labah betina yang jarang ditemukan itu boleh hidup lebih 20 tahun di habitat hutan dan membesar sehingga lima sentimeter (sm) panjang.
Saintis bagaimanapun mendedahkan kebanyakan habitatnya telah musnah akibat pembersihan tanah, menjadikan spesies itu mungkin terancam.
Haiwan itu dipanggil labah-labah pintu perangkap (trapdoor spider) kerana membina ‘pintu perangkap’ daripada daun untuk memakan serangga.
Ia biasanya berukuran kira-kira 1.5 hingga 3 sm dan tidak berbahaya kepada manusia.
Dalam bahasa Latin, nama labah-labah itu bermaksud kepelbagaian atau kehebatan, mencerminkan saiz dan sifat yang mengagumkan labah-labah itu, kata saintis dari Muzium Queensland, yang menemuinya.
Spesies betina itu mempunyai karapas merah coklat, manakala jantan mempunyai lapisan luar merah madu dan perut kelabu-coklat.
Euoplos dignitas tinggal di habitat hutan terbuka dan membina lubangnya di tanah hitam. Spesies betina itu menghabiskan hidup di bawah tanah.
Jumlah spesimen spesies amat sedikit dikumpulkan dalam beberapa dekad kebelakangan ini, dengan hanya satu labah-labah betina diserahkan kepada Muzium Queensland sejak 1960-an, kata saintis dalam kajian yang diterbitkan dalam Journal of Arachnology. – Agensi