LIMA, 17 OGOS – Para saintis yang bekerja di Peru telah menamakan spesies ular baharu sempena nama Harrison Ford sebagai penghormatan kepada sokongan pelakon Indiana Jones yang mendukung kerja pemuliharaan.
Reptilia sepanjang 40cm itu pertama kali ditemui pada Mei 2022 di kawasan pergunungan hutan Taman Negara Otishi, kata Universiti Kebangsaan San Marco, kelmarin.
Tetapi sehingga kini penyelidik membuat kesimpulan bahawa ia sememangnya spesies yang tidak diketahui sebelum ini.
Haiwan itu berwarna coklat kekuningan, dengan bintik hitam, perut hitam dan mata berwarna tembaga.
Ia telah diberi nama saintifik Tachy-menoides harrisonfordi.
Ular itu pertama kali ditemui oleh pasukan yang diketuai oleh seorang ahli biologi Amerika Syarikat (AS)-Jerman, Edgar Lehr.
Ia kini dinamakan sempena Ford kerana dia aktif dalam isu alam sekitar, kata Lehr kepada AFP dari negeri Illinois.
“Saya mendapati bahawa Harrison Ford bersetuju untuk namanya digunakan melalui perundingan yang dibuat oleh Conservation International,” tambahnya, merujuk kepada sebuah NGO.
Katanya, ular itu ditemui di kawasan yang hanya boleh diakses dengan helikopter.
“Kami mengambil masa tujuh hari untuk mencarinya,” kata Lehr.
Ular itu tidak berbahaya kepada manusia dewasa tetapi ia pandai memburu katak dan cicak, tambahnya.
Lehr mengetuai pasukan penyelidik dari Universiti Kebangsaan San Marcos, Universiti Antarabangsa Florida dan Universiti Wesleyan Illinois.
Salamandra, Jurnal Herpetologi Jerman, menerbitkan kajian pada Selasa mengenai penemuan ular itu. – AFP
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/08/P13-A-paper-web-AFP_18082023.jpg)