JAKARTA, 13 NOV – Seekor gajah Sumatera yang hampir pupus telah dilahirkan di barat Indonesia pada hujung minggu lalu, menurut pegawai, memberi harapan baharu kepada usaha pemuliharaan selepas beberapa kelahiran lain anak gajah dan badak sumbu dalam beberapa bulan kebelakangan ini.
Dengan berat kira-kira 108 kilogram, anak gajah jantan yang belum dinamakan itu dilahirkan di Taman Negara Way Kambas di wilayah Lampung di selatan Sumatera, kata Kementerian Alam Sekitar dan Perhutanan kelmarin.
Anak gajah itu dalam keadaan sihat dan ibunya, Riska sedang dipantau selepas melahirkannya pada Sabtu, kata kementerian itu.
Riska telah melahirkan seekor anak betina pada 2017.
Penambahan baharu kepada kumpulan gajah di Way Kambas berlaku selepas anak badak sumbu Sumatera dilahirkan di sana pada September lalu dan seekor lagi anak gajah dilahirkan di taman negara yang berbeza di Sumatera pada bulan yang sama.
“Semoga kelahiran pelbagai hidupan liar menunjukkan usaha pemuliharaan untuk spesies yang dilindungi di Taman Negara telah dilaksanakan dengan baik,” kata Satyawan Pudyatmoko, seorang pegawai pemuliharaan.
Menurut Dana Hidupan Liar Dunia, gajah Sumatera berada di ambang kepupusan dengan hanya tinggal kira-kira 2,400-2,800 di dunia.
Populasi gajah diancam oleh pemburuan berleluasa bagi mendapatkan gading, yang dinilai tinggi dalam perdagangan hidupan liar haram. – AFP