Saturday, July 6, 2024
23.3 C
Brunei

    -

    Spider ‘mengamuk’ keluar sarang

    Tiada istilah terlambat buat kugiran Spider apabila memilih mementaskan konsert berskala besar hanya selepas lebih dua dekad mewarnai industri muzik tanah air.

    Sebaliknya, Spider percaya, detik itu pasti tiba jika suatu hari nanti, rezeki dan nasib berpihak kepada mereka, lapor BH Online.

    Terbukti apa yang diungkap ada kebenarannya apabila keputusan beraksi pada konsert perdana, Spider Keluar Sarang Live in Kuala Lumpur 2024 pada 22 Jun lalu, mendapat sambutan luar biasa apabila tiket untuk menyaksikan konsert itu habis dijual, dalam tempoh singkat.

    Lautan manusia yang mengisi setiap ruang Zepp Kuala Lumpur sambil setiap daripada mereka melaungkan nama Spider, membuktikan sokongan dan kesetiaan peminat tidak pernah pudar, sekalipun band pelapis tumbuh bagai cendawan selepas hujan.

    Tidak mahu peminat menunggu lama, Spider muncul pada jam 8:45 malam dengan menghidangkan lagu Ajaib sebagai menu pembuka selera. Ini diikuti beberapa lagu rancak lain seperti Rasakan Resapkan, Anti Graviti dan Ngam Ho hingga menjadikan suasana kian hangat.

    Tam membangkitkan nostalgia dengan rangkaian lagu malar segar Spider pada konsert di ibu negara, baru-baru ini. – mStar

    Daripada irama rancak, band berasal dari Johor Bharu itu memperlahankan ‘pecutan’ dengan mengalunkan irama balada yang berjaya meledakkan nama mereka, iaitu Mungkinkah Terjadi.

    Bagaikan penyanyi latar, penonton turut mengiringi Tam atau nama sebenar, Rustam Mustafah menyanyikan lagu ciptaan Datuk M Nasir dan lirik nukilan Yem itu.

    Menjadi tonggak utama konsert, Tam membuktikan usia separuh abad bukanlah halangan untuk dirinya tampil energetik di pentas.

    Menyanyi sambil memetik gitar dan bergerak aktif di atas pentas memerlukan stamina yang bukan sedikit, namun, Tam ada ‘kuasa’ itu.

    Vokalnya masih sama seperti dalam cakera padat (CD). Sedap didengar, tidak menjemukan dan amat menghiburkan. – Agensi

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sidang Kemuncak SCO alu-alukan keahlian Belarus

    ASTANA, 5 JULAI – Sidang Kemuncak Majlis Ketua-ketua Negara Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) ke-24 yang berakhir kelmarin menyaksikan pencapaian luar biasa, termasuk penerimaan Deklarasi...