Spin tingkatkan kerjaya akauntan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JULAI – Ekonomi dan persekitaran perniagaan negara yang membangun, menunjukkan potensi yang kuat bagi pertumbuhan pekerjaan khususnya bagi profesional, pengurus, eksekutif dan juruteknik (PMET).

Di samping itu, dapat disaksikan peningkatan permintaan bagi tenaga kerja yang berkemahiran tinggi dan kompeten serta juga pihak industri meningkatkan permintaan bagi pekerja-pekerja yang tangkas dan berdaya tahan.

Dalam hubungan itu, permintaan bagi kerjaya perakaunan juga tidak terkecuali dengan peningkatan keperluan untuk mempunyai kumpulan akauntan awam yang berkelayakan dan berdaftar.

Perkara itu dinyatakan oleh Ketua Sekretariat Majlis Perancangan Tenaga Kerja dan Pekerjaan (MPEC), Dayang Marzalenie binti Haji Omar dalam kata alu-aluannya pada perasmian Program SPIN dalam Perakaunan yang berlangsung di Dewan Bankuet, Bangunan Jabatan Perdana Menteri (JPM), hari ini.

Hadir merasmikan perasmian program itu ialah Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah selaku pengerusi MPEC.

Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua menyempurnakan penyampaian surat penganugerahan kepada salah seorang peserta yang terpilih untuk menyertai Program SPIN dalam perakaunan.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew menyempurnakan perasmian Program SPIN dalam Perakaunan yang berlangsung di Dewan Bankuet, Bangunan Jabatan Perdana Menteri, kelmarin.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew beramah mesra dengan mentor dan peserta Program SPIN dalam Perakaunan.
Penandatanganan MoU antara MPEC yang diwakili oleh Pengiran Hajah Nurul Ihsan (kiri) dan BICPA yang diwakili oleh Dayangku Hajah Siti Khadijah (kanan).

Turut hadir di majlis berkenaan ialah ahli Jawatankuasa Kerja MPEC iaitu Pemangku Menteri Pendidikan, Datin Seri Paduka Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh; Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi), Dato Seri Paduka Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin dan Timbalan Menteri Pembangunan, Dato Seri Paduka Ar Haji Marzuke bin Haji Mohsin.

Dayang Marzalenie dalam kata alu-aluannya menerangkan bahawa Program SPIN dan Perakaunan di bawah MPEC adalah hasil kerjasama dengan Kementerian Kewangan dan Ekonomi dan Brunei Darussalam Institute of Chartered Public Accountants (BICPA).

Program itu menawarkan pembiayaan kursus atau latihan ikhtisas (profesional) kepada pencari kerja tempatan dan pekerja tempatan di sektor swasta termasuk perantis i-Ready, untuk mendapatkan persijilan dalam bidang perakaunan khususnya bagi kursus asas Foundation in Accountancy (FIA), kursus teknikal Certified Accounting Technician (CAT) dan kursus profesional Association of Chartered Certified Accountants (ACCA).

Melalui program itu, ia akan membantu anak tempatan untuk mendapatkan sijil profesional bagi merapatkan jurang kemahiran dan mewujudkan kumpulan profesional khusus dalam bidang pengauditan, perakaunan dan kewangan.

Dengan adanya program berkenaan, ia diharap akan dapat meningkatkan jumlah profesional tempatan dalam bidang perakaunan pada masa akan datang dan akan dapat memenuhi keperluan negara dan ekonomi sejajar dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035.

Bagi pengambilan pertama ini, peserta akan memulakan Program ACCA pada Ogos 2021 manakala bagi program FIA dan CAT akan bermula pada Januari 2022. Di sepanjang kursus berkenaan, para peserta akan dibimbing oleh mentor profesional yang berkelayakan dan berdaftar dengan BICPA.

Pada acara berkenaan turut menyaksikan penandatangan memorandum persefahaman (MoU) di antara MPEC dan BICPA dengan MPEC diwakili oleh Pemangku Penolong
Pengarah, Pengiran Hajah Nurul Ihsan binti Pengiran Haji Damit dan BICPA diwakili oleh Presiden, Dayangku Hajah Siti Khadijah binti Pengiran Haji Moksin.

Penandatanganan itu disaksikan oleh Pengerusi PAOC, Hajah Chairani binti Haji Sulaiman dan Timbalan Presiden BICPA, Kong Ee Pin.

Majlis turut menyaksikan Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew menyempurnakan penyampaian surat penganugerahan kepada 58 orang peserta yang terpilih untuk menyertai Program SPIN dalam perakaunan dan menyampaikan sijil penghargaan kepada 25 orang mentor yang akan memberikan tunjuk ajar kepada peserta sepanjang tempoh kursus dijalankan.