Sunday, December 22, 2024
25 C
Brunei

    Berita Terkini

    SPK untuk persediaan kewangan masa depan

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 OKT – Pengenalan Skim Persaraan Kebangsaan (SPK) bermatlamat untuk menyediakan keselamatan yang dipertingkatkan bagi para ahli dengan memastikan mereka mempunyai sumber pendapatan yang boleh dipercayai semasa bersara apabila mereka beralih ke fasa penting dalam kehidupan mereka.

    Pada masa yang sama, Tabung Amanah Pekerja (TAP) juga secara aktif menggalakkan ahli-ahlinya untuk mengembangkan simpanan mereka melebihi anuiti SPK mereka, sama ada melalui sumbangan sukarela atau perkhidmatan yang terdapat di luar TAP.

    Usaha-usaha itu bukan sahaja menangani keperluan kewangan segera tetapi ia juga memainkan peranan penting dalam membina masa depan kewangan yang lebih kukuh dan selamat untuk persaraan.

    Perkara itu dinyatakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah selaku Pengerusi Lembaga TAP dalam ucapannya di acara Lakastah Bersedia yang berlangsung di The Mall, Gadong, hari ini.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Awang Haji Mohd Amin Liew menyampaikan ucapan.

    Beliau menyatakan bahawa inisiatif acara berkenaan adalah satu usaha berterusan TAP untuk menekankan pentingnya perancangan persaraan dan meningkatkan literasi kewangan masyarakat.

    Pengisian Lakastah Bersedia yang telah diatur dengan teliti, ulasnya, menekankan kepentingan perancangan persaraan holistik khususnya keperluan bagi persiapan awal sebelum beralih ke persaraan.

    Dalam acara itu, aspek-aspek utama yang diterokai adalah termasuk hidup sebagai persara yang menumpukan kepada menjamin kebebasan kewangan. Di samping itu, turut dibincangkan adalah bagaimana untuk melindungi diri daripada penipuan serta penerokaan ke dalam dinamik sosial persaraan.

    Yang Berhormat Dato dalam ucapannya turut mengumumkan pelancaran Program Persijilan Perancangan Persaraan yang bermatlamat untuk memastikan maklumat khusus berkenaan skim dan produk TAP disampaikan oleh agensi-agensi luar dengan tepat kepada orang ramai.

    Antara yang hadir di acara berkenaan.

    Ia bukan sahaja dengan menyampaikan maklumat yang tepat tetapi juga untuk memperkasa ahlinya untuk membuat keputusan yang terbaik bagi diri mereka dan orang yang tersayang.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Awang Haji Mohd Amin Liew melawat pameran semasa acara berkenaan. – GAMBAR-GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda