LOS ANGELES – Split sebuah filem kerjasama di antara Blumhouse dan Universal berjaya untuk mengekalkan takhta kejuaraan buat minggu kedua setelah berjaya mengumpulkan kutipan sebanyak AS$26.3 juta. Filem thriller berbajet rendah arahan M. Night Shyamalan ini telah berjaya mengumpulkan kutipan sebanyak AS$78 juta secara keseluruhan bagi pasaran domestik.
Sambutan yang sangat menggalakkan itu juga menjadi penanda aras kepada kembalinya kegemilangan Shyamalan dalam dunia pengarahan setelah reputasi beliau agak sedikit terjejas berikutan daripada sambutan hambar yang diterima terhadap tayangan filem The Lady in the Water dan After Earth.
“Pada dasarnya, strategi yang digunakan dalam merealisasikan filem ini adalah cukup baik di mana walaupun ia hanya menggunakan kos yang rendah namun ia berjaya direalisasikan dengan baik yang merangkumi aspek lakonan dan jalan ceritanya sendiri. Malah media sosial juga secara berterusan memberikan respon yang positif terhadap tayangan filem ini,” jelas Penganalisis Media Kanan di ComScore, Paul Dergarabedian.
Walaupun terdapat ancaman boikot berikutan daripada penyebaran video TMZ yang membantah penampilan adegan yang memperlihatkan spesis anjing German Shepherd dalam keadaan berenang, A Dog’s Purpose tetap berjaya menjadi pilihan kepada penonton yang datang ke pawagam bersama keluarga.
Kisah anjing yang melalui kehidupan baru dan menjadi teman baik kepada manusia itu telah berjaya mengumpulkan kutipan sebanyak AS$18.4 juta sekaligus menduduki tangga kedua dalam carta.
Filem kerjasama Universal dan Amblin yang memperuntukkan kos perbelanjaan sebanyak AS$22 juta seolah berjaya mengulangi kembali beberapa buah filem yang menampilkan karakter binatang seperti Eight Below dan Dolphin Tale.
“Sambutan yang diterima terhadap filem A Dog’s Purpose adalah sangat di luar jangkaan. Hakikatnya filem ini jelas cuba untuk menyampaikan mesejnya yang tersendiri sekaligus menepis segala aspek kontroversi yang menyelubunginya,” jelas Ketua Pengedar Domestik Universal, Nick Carpou.
Selepas TMZ menyiarkan video berunsur ancaman boikot itu, pengarah filem itu, Lasse Hallstrom, penerbit, Gavin Polone dan beberapa barisan pelakon yang membintangi filem tersebut juga meluahkan rasa marah sekaligus menyalahkan sikap manipulasi yang dilakukan oleh unit kedua yang menguruskan produksi filem tersebut.
Pada awalnya, Universal juga telah membatalkan tayangan perdana filem itu dua minggu lalu namun kembali membuat keputusan untuk menayangkannya pada minggu ini.
“Apa yang terjadi jelas cukup menjejaskan reputasi filem tersebut dalam box office kerana sebelum kontroversi ini berlaku, filem A Dog’s Purpose dengan mudahnya dijangka mampu meraih kutipan sehingga AS$25 juta,” jelas salah seorang Penganalisis di Exhibitor Relations, Jeff Bock.
Sementara Hidden Figures pula masih mampu untuk mengekalkan kedudukannya di tangga ketiga setelah berjaya mengumpulkan kutipan sebanyak AS$14 juta sekaligus menjadikan kutipan secara keseluruhan yang berjaya dikumpul oleh filem itu menjadi AS$104 juta.
Filem yang mengisahkan mengenai penglibatan kaum wanita dari bangsa Afrika-Amerika dalam program angkasawan itu telah menerima pencalonan untuk Anugerah Filem Terbaik dalam Anugerah Akademi yang diumumkan awal minggu ini.
Sementara, Resident Evil: The Final Chapter keluaran Sony pula menduduki tangga keempat dalam carta setelah berjaya mengumpulkan kutipan sebanyak AS$13.8 juta.
Filem yang diadaptasi daripada siri permainan video popular itu telah berjaya meraih kutipan setinggi AS$80 juta di pasaran antarabangsa.
Ketua Pemasaran dan Pengedar Antarabangsa Sony, Josh Greenstein menjelaskan bahawa studio itu memang telah menjangkakan bahawa filem Resident Evil: The Final Chapter bakal mendapat sambutan yang menggalakkan di peringkat antarabangsa berbanding dalam negara sebagaimana yang dialami terhadap dua siri yang terdahulu di mana 80 peratus keuntungan adalah datang daripada hasil kutipan daripada tayangan di peringkat antarabangsa.
“Resident Evil merupakan sebuah filem yang boleh diterima di peringkat antarabangsa dan ia adalah antara contoh terbaik dalam menumpukan pasaran antarabangsa bukan sahaja bagi pasaran Amerika Syarikat,” jelas Greenstein.
Secara purata, francais filem Resident Evil telah berjaya mengumpulkan kutipan yang melangkaui sehingga jumlah AS$1 bilion sehingga menjadikan ia sebagai filem adaptasi daripada permainan yang paling berjaya dalam sejarah dunia perfileman.
La La Land yang menerima sebanyak 14 pencalonan dalam Anugerah Oscar pula menduduki tangga kelima setelah berjaya mengumpul kutipan sebanyak AS$12 juta.
Secara keseluruhan, filem yang menampilkan elemen romantik dan muzikal itu telah berjaya mengumpulkan kutipan sebanyak AS$106 juta.
Selain A Dog’s Purpose dan Resident Evil: The Final Chapter, sebuah lagi filem baru yang ditayangkan pada minggu ini adalah Gold yang dibintangi oleh Matthew McConaughey.