Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 MEI – Pasukan Miri FA berjaya bangkit untuk mengikat pasukan Sport School FC dengan kedudukan 2-2 pada kejohanan bola sepak Liga Jemputan Piala Lela Cheteria, di Padang Arena, kelmarin.
“Tahniah kepada kedua-dua pasukan yang telah menunjukkan permainan yang amat menarik. Keputusan seri dengan jaringan 2-2 dilihat sangat berharga kepada pasukan masing-masing selepas berusaha gigih untuk memenangi perlawanan,” jelas Ketua Jurulatih Miri FA, Ismail Anak Lumut.
Sekalipun dikejutkan dengan jaringan 0-2, beliau memuji anak buahnya yang tidak mudah putus harapan malah mampu bangkit untuk menyamakan kedudukan di sebalik saingan yang diberikan oleh pihak lawan.
“Terima kasih kepada pihak penganjur, Liga Bola Sepak Yakin (YFL) atas jemputan pada kejohanan menarik dan mencabar ini. Miri FA akan berusaha memberikan saingan yang terbaik dan gigih memperbaiki prestasi untuk memberikan cabaran kepada pasukan lawan pada perlawanan-perlawanan seterusnya,” ujarnya.
Kedua-dua pasukan membuka tirai perlawanan dengan berhati-hati melancarkan serangan pantas namun Sport School FC lebih awal berjaya menembusi gawang pasukan Miri FA pada minit ke-23 menerusi rembatan kencang daripada Mohd Darwishhafis bin Mohd Hamzillah.

Ketinggalan jaringan, Miri FA berusaha mencari jaringan penyamaan menerusi serangan-serangan balas namun barisan pertahanan Sport School FC terlalu kukuh untuk dibolos sepanjang 45 minit perlawanan.
Babak kedua perlawanan menyaksikan pertemuan lebih menarik apabila Sport School FC berjaya menambah jaringan menerusi Muhd Arif Syahmi Abdullah di minit ke-52 namun Miri FA mula bangkit selepas dihadiahkan sepakan penalti yang disempurnakan oleh Ahnaf Danish Farihin Ahmad di minit ke-57.
Abdul Rafiq Rezwan bin Abdul Rahman menjadi penyelamat pasukan Miri FA daripada pulang dengan tangan kosong selepas pemain lincah itu memastikan sentuhannya di minit ke-75 membantu mengutip satu mata pada perlawanan yang disaksikan oleh Presiden Miri FA, Mohammad Saif Jubaidi.
Sementara itu, pasukan Limbang FA dan pasukan Kasuka FC sekadar berkongsi mata tanpa jaringan di Padang FABD.
Turut menyaksikan perlawanan menarik berkenaan ialah Pengerusi YFL, Pengiran Zamri bin Pengiran Haji Bujang; Ketua Pegawai Eksekutif YFL, Dayang Hernah Nur Imani binti Muhd Jeffrey; Presiden Limbang FA, Frederick Lalung Ngilo; dan Pengarah Kejohanan Piala Lela Cheteria, Awang Muhammad Radzuan bin Haji Madali.
Terdahulu, pasukan PKT FT memulakan saingan dengan nada hampa apabila gagal menyekat saingan pasukan Gergasi FC selepas pasukan naib juara Piala Dirgahayu itu tewas 1-5 di Kompleks Sukan Tutong pada 9 Mei lalu. Sementara pada 10 Mei lalu, pasukan Suparstrikas berjaya mencatat satu mata apabila berkongsi jaringan 1-1 dengan pasukan Shada FT di Kompleks Sukan Tutong.