Sporting juarai Liga Portugal

LISBON, 12 MEI – Sporting Lisbon dinobatkan juara Liga Portugal buat kali pertama dalam hampir dua dekad, kelmarin.

Kemenangan tipis 1-0 ke atas Boavista di Stadium Jose Alvalade sudah cukup untuk mengesahkan Sporting merangkul kejuaraan ke-19, kali terakhir pasukan tersebut menjuarai liga adalah pada 2002.

Jaringan pada minit ke-36 oleh Paulinho meletakkan The Lions semakin jauh mendahului di hadapan juara bertahan, Porto dalam perlawanan tanpa peminat disebabkan oleh sekatan pandemik koronavirus.

Pasukan berpangkalan di Lisbon terpaksa menunda keraian mereka selama 24 jam setelah Porto menghidupkan semula harapan mereka, sekurang-kurangnya untuk 24 jam, dengan membelasah pasukan bawahan Farense 5-1, awal minggu ini. Mereka merampas kejuaraan dengan bergaya, dengan kelebihan lapan mata ke atas The Dragons dan melanjutkan rekod tanpa kalah.

Meskipun gesaan oleh pihak berkuasa tempatan untuk melaksanakan sekatan penjarakan sosial, ribuan peminat mula berkumpul di luar stadium Lisbon sebelum perlawanan bermula.

Reaksi pemain Sporting meraikan kejuaraan setelah dinobatkan sebagai juara liga Portugal, baru-baru ini.- AFP

Keraian di luar stadium disambut dengan meriah meskipun sebelum wisel penamat dibunyikan.

Pertelagahan antara peminat dan pasukan polis menyebabkan beberapa orang tercedera, menurut laporan polis.

Sebaik sahaja perlawanan tamat, peminat membanjiri jalan-jalan raya di ibu kota, sambil menyalakan bunga api, membunyikan hon kereta dan bersorak, “Kami adalah juara.”

Sporting, tempat di mana Cristiano Ronaldo memulakan kariernya, bangkit ke kedudukan di carta liga pada permulaan November dan sejak itu tidak berganjak.

Salah satu mata penting pada musim ini adalah ketika hujung bulan lalu di mana Sporting terpaksa berhempas pulas mencatat kemenangan 1-0 ke atas Braga sementara Porto, dibezakan dengan hanya empat mata, terpaksa berpuas hati sekadar seri 1-1 di Moreirense.- AFP