LISBON, 19 Jun – Bekas jurulatih AC Milan dan Torino, Sinisa Mihajlovic (gambar) akan mengemudi kelab bermasalah dari Portugal, Sporting Lisbon selepas menandatangani perjanjian sehingga tahun 2021, kata kelab itu pada Isnin.
Bekas jurulatih, Jorge Jesus dan beberapa pemain terkemuka berhenti daripada kelab itu selepas diserang teruk oleh kumpulan lelaki bertopeng ketika menjalani latihan di laman sendiri pada Mei.
Presiden kelab itu sendiri, Bruno de Carvalhos dituduh dalang insiden berkenaan.
Pengendali 49 tahun dari Serbia itu mempunyai pengalaman sebagai pemain dan jurulatih di peringkat tertinggi.
Sembilan pemain termasuk pemain antarabangsa Portugal di Piala Dunia, Rui Patricio, William Carvalho, Bruno Fernandes dan Gelson Martins menamatkan kontrak dengan kelab berkenaan sejak serangan mengerikan itu.
Pemain lain yang menyarung jersi hijau putih Sporting sudah memaklumkan kepada kelab mengenai niat mereka untuk keluar.
Seramai 23 orang ditahan berikutan serangan ke atas pangkalan latihan Sporting di Alcochete, di pinggir bandar Lisbon pada 15 Mei.
Kejadian itu berlaku dalam persiapan untuk final Piala Portugis di mana Sporting tewas 2-1 kepada Aves untuk menamatkan musim yang mengecewakan.
Sporting mengakhiri saingan di tangga ketiga susulan kekalahan di Maritimo dalam perlawanan akhir musim itu dan terlepas untuk mara ke pusingan kelayakan Liga Juara-Juara. – AFP