NEW YORK, 13 NOV –Platform penstriman audio Spotify akan menambah video muzik, “dalam beberapa minggu akan datang” untuk pelanggan berbayar di Amerika Syarikat dan Kanada, kata seorang jurucakap kelmarin.
Perkembangan ini menandakan pengembangan ketara oleh platform audio yang berpangkalan di Sweden ke dalam video, yang sehingga kini terhad kepada podcast video.
Jurucakap Spotify berkata lebih 390 juta pengguna telah menonton podcast video di platform tersebut.
“Kami akan mempunyai lebih banyak butiran untuk dikongsi tidak lama lagi,” tambah jurucakap Spotify. “Dalam pengumuman kami sebelum ini tentang video muzik di pasaran lain, kami mengumumkan bahawa ia adalah untuk pengguna Premium.”
Sebaik sahaja ditambah, pengguna juga akan dapat bertukar sama ada mod audio sahaja atau video.
Penyertaan Spotify dalam penstriman video muzik itu bakal menganggu dominasi YouTube, yang selama hampir 20 tahun telah menjadi laman utama untuk menonton kandungan seperti video muzik. – AFP


