NEW YORK, 21 FEB – Spotify kelmarin mula menerima buku audio disampaikan oleh suara digital yang dicipta oleh syarikat perisian kecerdasan buatan (AI) ElevenLabs, menjadikannya sebagai pilihan kos efektif untuk pengarang.
Perkhidmatan penstriman muzik, buku dan podcast yang berpangkalan di Sweden mula menerima buku audio yang disampaikan secara digital pada akhir 2023 dengan Google Play Books sebagai rakan kongsinya.
Buku audio yang disampaikan oleh perisian itu muncul dengan penerangan kepada orang ramai, menurut Spotify.
Spotify menyifatkan perkongsian suara digitalnya dengan Google pada masa itu sebagai pembangunan penting yang membolehkan lebih ramai pengarang dan pendengar mengakses buku audio.
“Kami teruja untuk menerima buku audio daripada ElevenLabs, sebuah syarikat perisian AI yang menyediakan teknologi penyampaian suara berkualiti tinggi yang mudah digunakan,” kata Spotify dalam catatan blog kelmarin. Mereka yang memiliki hak untuk buku boleh menggunakan teknologi ElevenLabs untuk menyampaikan karya dalam berpuluh-puluh bahasa, dengan kawalan ke atas suara dan intonasi, menurut Spotify.
Apple telah menawarkan buku audio yang disampaikan dengan suara digital melalui App Store sejak awal 2023. – AFP
