Friday, September 13, 2024
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    SPRM beku 20 akaun bank Alif Teega, Aisyah Hijanah

    Susulan penahanan reman atas dakwaan menyeleweng dana derma awam, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan kira-kira 20 akaun perbankan pasangan pempengaruh media sosial iaitu Alif Teega dan Aisyah Hijanah.

    Menurut laporan FMT, kesemua akaun yang dibekukan itu membabitkan nilai lebih RM740,000 mempunyai kaitan dengan dana yang diterima daripada orang ramai.

    Sejak siasatan dijalankan, SPRM menerusi Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) sudah menyita dan membekukan hampir 20 akaun bank dimiliki individu termasuk akaun syarikat bagi membantu siasatan.

    Perkara tersebut turut disahkan oleh Pengarah AML SPRM iaitu Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin yang memaklumkan sitaan sudah pun dilakukan oleh pihak berkuasa.

    “Sitaan dan pembekuan akaun-akaun terbabit dibuat mengikut Seksyen 44 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001),” katanya.

    Pada 10 Julai lalu, SPRM menahan Alif atau Mohd Hazalif Mohd Hazani, 30, dan Aisyah, 26, dipercayai bagi membantu siasatan atas dakwaan menyeleweng dana derma awam.

    Pasangan itu sebelum ini pernah tampil menafikan dakwaan berkenaan dan mahu mengheret pemfitnah ke mahkamah. – Agensi

    SPRM membekukan 20 akaun bank milik Alif dan Aisyah bagi membantu siasatan. – Gen Muslim
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda