Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 FEB – Dalam usaha menuju ke arah gaya hidup sihat dan bagi mengeratkan lagi perpaduan dalam kalangan anggota, Setia Protective Security Services (SPSS) hari ini telah menganjurkan Kejohanan Sukan Futsal antara Zon-zon Shift Bravo Kompeni Delta SPSS yang berlangsung di Dewan Serba guna Sekolah Menengah Katok.
Seramai lebih 80 orang anggota SPSS Kompeni Delta telah menyertai kejohanan tersebut yang melibatkan lapan buah pasukan.
Inspektor Keselamatan Kanan di SPSS, Abdul Razak bin Haji Matnoor semasa ditemui Media Permata mengongsikan, kejohanan tesebut merupakan kejohanan yang pertama kalinya diadakan sejak COVID-19 melanda negara.
Beliau menjelaskan, sebelum COVID-19, pertandingan seumpama ini merupakan acara tahunan yang dianjurkan oleh anggota SPSS yang mana tujuan utamanya adalah bagi mengukuhkan hubungan sesama anggota Kompeni Delta.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya menyempurnakan majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang ialah Pegawai Keselamatan Kompeni Delta, Mizam binti Momin.
Pasukan dari Zon 2 telah dinobatkan sebagai juara diikuti dengan Pasukan Zon 4 A selaku naib juara. Manakala pasukan Zon 1 A pula menduduki tempat ketiga dalam kejohanan tersebut.
Sementara itu, pemain terbaik pula disandang oleh Mohammad Amir Hamzah bin Sapar.
Manakala Zulelmi bin Haji Mohammad diumumkan sebagai penjaga gawang terbaik kejohanan.
Di samping acara yang diadakan pada hari ini, kejohanan seumpamanya juga akan turut diadakan bagi anggota-anggota SPSS dalam shift yang lain.