SINGAPURA, 26 APRIL – Singapura akan memperkenalkan satu rang undang-undang pada sidang parlimen berikutnya iaitu pada 4 Mei bagi membolehkan upacara akad nikah dilangsungkan secara jarak jauh menggunakan teknologi semasa penularan pandemik COVID-19.
“Kita boleh menjangkakan untuk memulakan proses ini bermula pertengahan Mei dan seterusnya, jika undang-undang itu digubal,” kata Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga Desmond Lee di laman Facebook beliau hari ini.
Lee berkata jika semuanya berjalan lancar, kementerian itu berharap akan dapat memanjangkan perkara ini sebagai satu pilihan kepada lebih ramai pasangan, meskipun selepas berakhirnya tempoh Pemutus Rantaian bagi COVID-19.
Singapura memasuki minggu keempatnya minggu depan bagi langkah ketat pemutus rantaian wabak itu yang akan berakhir pada 1 Jun.
“Kami juga akan meneruskan upacara akad nikah secara berdepan apabila keadaan selamat untuk berbuat demikian,” katanya.– Bernama