SINGAPURA, 30 APRIL – Dengan pemberian dua lesen 5G, Singapura berada di landasan untuk mencapai liputan 5G di seluruh republik itu secara kendirinya menjelang 2025, kata Menteri Komunikasi dan Maklumat Singapura, S. Iswaran.
Terdahulu hari ini, Pihak Berkuasa Pembangunan Media Infocomm Singapura mengumumkan Singtel Mobile Singapore dan Konsortium Usaha Sama yang ditubuhkan oleh StarHub Mobile dan M1 sebagai pemenang anugerah 5G Call for Proposal (CFP).
Bercakap secara media maya, Iswaran berkata, republik itu juga berada di landasan meraih liputan sebanyak 50 peratus dalam dua tahun, atau ‘dalam kata lain, menjelang 2022’.
“Oleh itu, Singapura akan menjadi antara kumpulan negara terawal yang menawarkan keupayaan dan perkhidmatan 5G sepenuhnya,” katanya. – Bernama